Rakyat Malaysia yang layak mengundi diseru terus keluar mengundi walaupun masih timbul kesangsian ke atas pihak Suruhanjaya Plihan Raya (SPR).

"Sekiranya pengundi dilarang mengundi atau diugut oleh pihak-pihak tertentu, sila lapor kepada pihak berkuasa dan ajukan masalah ini kepada Pemantau," tegas Puan Kamar Ainiah Kamaruddin, Ketua Koordinator Pemantau Pilihanraya Rakyat Malaysia.

Aduan pengundi ini penting kerana mereka merupakan mata dan telinga Pemantau bagi memastikan pilihan raya dijalankan secara adil dan saksama.

Pihak-pihak tertentu digesa supaya tidak menimbulkan provokasi yang boleh mencetuskan huru-hara dan kegelisahan kepada para pengundi dalam menghadapi pilihan raya esok, ujarnya lagi.

Sementara itu, Barisan Alternatif dan 23 Pertubuhan Bukan Kerajaan dalam satu surat terbuka, kesal dengan sikap Barisan Nasional serta media massa yang "sewenang-wenangnya membangkitkan perasaan perkauman di antara rakyat Malaysia demi meraih sokongan rakyat".

Menurut surat tersebut, isu "penubuhan kerajaan Islam", "ketuanan Melayu" dan "Malaysia Malaysia" tidak perlu dimanipulasikan dalam pilihan raya ini. "Isu yang diketengahkan adalah pemusatan kuasa politik di tangan seorang pemimpin dan kroni-kroninya. Ini mengakibatkan penyalahgunaan kuasa dari segi pentadbiran, legislatif dan kehakiman, ekonomi dan kewangan oleh sekumpulan pemimpin Barisan Nasional yang bersikap tamak, gila kuasa serta tidak beretika."

Wakil pertubuhan Civil Rights Commitee, Alison Wee memperingatkan parti-parti yang bertanding menerima keputusan dengan rasional dan menghormati keputusan majoriti rakyat Malaysia.