Peruntukan RM200 juta yang disediakan bagi industri kreatif dalam Bajet 2011 akan digunakan sepenuhnya terutamanya bagi mewujudkan program yang dapat meningkatkan pembabitan belia dalam industri berkenaan, kata Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Maglin Dennis D'Cruz.

Beliau berkata program seumpama itu penting bagi memastikan maklumat betul berhubung dasar kerajaan dapat disalurkan kepada kalangan belia di sebalik kecenderungan mereka untuk memperoleh maklumat menerusi blog dan secara online .

"Jadi, kami sebagai kementerian yang bertanggungjawab mungkin meneliti perkara ini untuk berbuat sesuatu dalam memastikan maklumat itu sampai kepada golongan muda," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah kepada 10 pemenang Festival Dokumentari Malaysia di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, ketika membentangkan Bajet 2011, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi industri kreatif untuk membeli drama, filem dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.

Maglin berkata kementeriannya akan berusaha menyalurkan seberapa banyak maklumat mengenai dasar kerajaan terutamanya menerusi program televisyen RTM dan media lain bagi memastikan golongan muda tidak terpengaruh dengan anasir tidak baik dari luar.

Sementara itu, Maglin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga aktor popular Allahyarham Yalal Chin dan berjanji bahawa kementeriannya akan menghulurkan bantuan untuk meringankan beban keluarganya.

Yalal, 67, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia di sini tengah malam semalam selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Jantung hospital itu dua minggu lepas.

--Bernama