Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Taiko' Yong Teck Lee calon SAPP di Batu Sapi
Diterbitkan:  Oct 23, 2010 10:19 AM
Dikemaskini: 12:30 PM

Parti Maju Sabah (SAPP) akan meletakkan presidennya, Datuk Yong Teck Lee sebagai calonnya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi 4 November ini.

Naib presiden SAPP, Poon Kee Yong membuat pengumuman itu pagi ini di majlis perasmian pejabat SAPP Karamunting di Bandar Leila, Sandakan.

yong teck lee

Katanya, Sabah memerlukan seorang pemimpin untuk mengembalikan autonomi Sabah dan memperjuangkan hak-hak negeri tersebut.

"Kita perlukan seorang yang boleh membawa perubahan," katanya.

Pemilihan bekas ketua menteri Sabah berusia 52 tahun itu diputuskan dalam mesyuarat majlis tertinggi SAPP malam tadi.

Ini merupakan penyertaan pertama Yong dalam pilihan raya selepas pembatalan kelayakannya untuk bertanding dalam pilihan raya 2001 kerana melanggar peraturan pilihan raya.

Ia ditarik balik pada 2006, tetapi Yong tidak bertanding dalam pilihan raya umum 2008 apabila permintaan SAPP untuk bertanding kerusi parlimen Kota Kinabalu yang disandang oleh Parti Bersatu

Sabah (PBS), ditolak oleh BN.

Pilihan raya kecil parlimen Batu Sapi dijangka bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara dua parti pembangkang - SAPP dan PKR - serta PBS yang mewakili BN.

PKR dan BN dijangka mengumumkan calon masing-masing esok.

Sebelum ini rundingan antara PKR dan SAPP Khamis lalu gagal mencapai kata sepakat untuk memboleh hanya seorang calon pembangkang bertanding menentang BN di Batu Sapi.

PKR mungkin memilih seorang calon Muslim untuk bertanding di situ bagi menarik sokongan pengundi yang kebiasannya menyokong calon BN.

Penamaan calon akan diadakan Selasa ini.

Tentangan hebat

Sementara Bernama melaporkan, Yong memberitahu pemberita kemudiannya bahawa pilihan raya kecil itu dijangka amat mencabar dan melibatkan kempen yang sungguh sengit kerana BN "akan melakukan apa saja untuk menang".

   

Namun demikian, kata beliau, SAPP akan memberi tentangan hebat.

   

"Ini bukan satu keputusan mudah. BN akan menyerang secara habis-habisan. Mereka juga ingin melenyapkan saya daripada dunia politik," katanya sambil menambah bahawa pilihan raya kecil bagi kawasan parlimen Batu Sapi akan memberi kesan ke seluruh negara.

Beliau berkata kemenangan SAPP bagi kerusi itu akan memberi isyarat jelas bahawa BN tidak boleh lagi menggelarkan Sabah sebagai 'simpanan tetapnya'.

Katanya, Batu Sapi memiliki persamaan dengan kebanyakan kawasan pilihan raya lain di Sabah 'kerana ia ada kawasan luar bandar, pulau, kampung air serta penduduk bandar dan kebanyakan isu di sini juga adalah sama seperti yang terdapat di kawasan lain di negeri ini'.

   

Ditanya tentang tanggapan bahawa beliau membuat pertaruhan yang amat besar dalam perjudian politik dengan bertanding bagi kerusi itu kerana SAPP mungkin berkubur sekiranya beliau kalah, Yong berkata parti berkenaan telah mengambil kira perkara itu sebelum membuat keputusan tersebut.

"Parti ini bersedia menghadapi sebarang cabaran dan kami berani berlawan bukan kerana kami boleh menang, tapi kami boleh menang kerana kami berani berlawan," katanya.

   

Yong berkata isu "Sabah untuk rakyat Sabah" dan "Borneonisasi" akan menjadi teras dalam tema SAPP bagi menghadapi pilihan raya kecil itu, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Edmund Chong Ket Wah, 54, dalam kemalangan jalan raya pada 9 Oktober.

   

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil ini akan diadakan Selasa ini dan pengundian pada 4 November.

ADS