'SJKC/T perlu ramai guru pelbagai kaum'
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC/T) perlu segera membenarkan lebih ramai guru pelbagai kaum mengajar di sekolah mereka bagi mengukuhkan perpaduan bangsa pada masa depan.
Ketika mencadangkan perkara itu, wakil Pergerakan Wanita Umno Datuk Norhayati Omar berkata jumlah guru bukan Cina dan India yang mengajar di sekolah tersebut adalah amat kecil setakat ini.
Katanya berdasarkan perangkaan sehingga Jun lepas, terdapat sebanyak 5,881 sekolah kebangsaan diikuti 1,291 SJKC dan 523 SJKT di seluruh negara.
"Bagaimanapun daripada jumlah tersebut, terdapat 2,245 guru Melayu sahaja yang ditempatkan mengajar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di seluruh negara," katanya semasa membahaskan usul agama dan pendidikan pada Perhimpunan Agung Umno 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur, hari ini.
Norhayati yang juga Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Sembilan berkata berdasarkan statistik itu, secara puratanya tidak sampai dua orang guru Melayu mengajar di SJKC/T sedangkan terdapat seramai 33,777 orang guru bukan Melayu mengajar di sekolah kebangsaan.
"Jika di peringkat guru tidak berpeluang untuk bercampur dan berinteraksi bagaimana pula rupa dan wajah anak kita pada masa depan," katanya.
Beliau berkata sekolah kebangsaan sentiasa membuka pintu kepada guru bukan Melayu dan mereka mampu berbakti dan mengembangkan karier mereka tanpa sebarang masalah.
Sehubungan itu, Pergerakan Wanita Umno mencadangkan kepada Kementerian Pelajaran spaya terus memperkasakan pelan integrasi guru tersebut bagi mencapai sasaran memperkukuhkan perpaduan kaum.
Norhayati juga berkata pergerakan itu mencadangkan supaya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terus diperkasakan di semua sekolah di negara ini, bagi memartabatkan bahasa itu.
Dalam masa sama, beliau berkata bahasa Mandarin dan Tamil perlu diajar di sekolah kebangsaan.
Beliau juga meminta kerajaan membela nasib guru dan tidak segera menghukum mereka hanya akibat "pandangan salah" pihak tertentu berkaitan apa yang dianggap isu perkauman.
--Bernama

