Najib: FDI berkualiti tinggi kembali ke Malaysia
Terdapat tanda-tanda positif yang pelaburan asing langsung (FDI) berkualiti tinggi sudah kembali ke Malaysia, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ia, kata beliau, dimungkinkan dengan langkah kerajaan mengenal pasti projek-projek yang menjadi minat kepada pelabur asing.
"Kita sebenarnya telah mengenal pasti kemungkinan yang sebenar dan menarik di mana pelabur asing boleh mendapat pulangan yang baik," katanya mengulas faktor-faktor menarik untuk pelabur asing membanjiri Malaysia dengan pelaburan selepas negara mengalamai kemerosotan dalam FDI.
Beliau berkata, sebaik saja cara itu ditunjukkan kepada pelabur, syarikat asing akan teruja.
Najib berkata, pelaburan yang memasuki negara pada masa ini adalah yang berkualiti tinggi dan seperti yang dijangka oleh kerajaan.
"Banyak lagi pengumuman akan dibuat, lebih-lebih lagi dengan lawatan Perdana Menteri India," tambah beliau.
- Bernama

