Bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tun Dr Lim Chong Eu, yang kini dirawat di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) sejak minggu lalu, dilaporkan stabil tetapi masih tidak sedarkan diri.

Penolong Pegawai Penerangan HPP, Natasha Mikyel Abdul Wahab, ketika dihubungi di Georgetown, berkata keadaan Dr Lim tidak banyak berubah sejak dimasukkan ke hospital dan masih menerima rawatan di ICU.

gerakan agm 061007 abdullah and lim chong eu "Tun Dr Lim dalam keadaan stabil dan masih tidak sedarkan diri", katanya.

Dr Lim, 91, dimasukkan ke hospital itu pada 26 Oktober lalu selepas dipercayai akibat serangan angin ahmar.

Antara pemimpin negara yang telah melawatnya di hospital ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, serta beberapa menteri Kabinet.

Dr Lim menjadi Ketua Menteri kedua Pulau Pinang dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari Mei 1969 hingga Oktober 1990.

Beliau pernah menjadi Presiden MCA sebelum meninggalkan parti itu dan menjadi Presiden Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971 dan di bawah kepimpinannya Gerakan menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1972.

- Bernama