Presiden: Politik kepartian biasa dalam MTUC
Penglibatan anggota dan pemimpin Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dalam politik kepartian merupakan perkara biasa dan tidak harus dijadikan alasan bagi menolak mana-mana pemimpinnya, kata kata presidennya Syed Shahir Syed Mohamud.
Beliau yang juga timbalan pengerusi PKR Selangor berkata jika dilihat daripada latar belakang MTUC, sejak zaman berzaman terdapat pemimpinnya turut terlibat menganggotai parti politik pilihan mereka.
"Jadi saya tidak lihat perkara ini (penglibatan dalam parti) sebagai sesuatu yang luar biasa," katanya ketika ditanya sama ada penglibatan aktifnya dalam politik pembangkang membuatkan beliau dicabar dalam pemilihan MTUC kali ini.
Dalam pemilihan MTUC yang pada 22 Disember depan, pelbagai jawatan tertinggi dalam gabungan itu menyaksikan pertandingan, termasuk untuk jawatan nombor satu di mana Syed Shahir ( kiri ) sendiri dicabar timbalannya Mohamad Khalid Atan.
Selain itu, enam calon akan merebut jawatan setiausaha agung yang tidak dipertahankan G Rajasegaran selepas 17 tahun memegangnya, manakala 48 lagi mencuba nasib untuk 11 jawatan naib presiden.
Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Syed Shahir berkata keluhan terhadap penglibatan dalam PKR dianggap sebagai perkara biasa dan tidak harus diperbesar-besarkan.
"Agenda kita lebih besar untuk memastikan kepentingan pekerja terbela," katanya sambil menjelaskan cabaran pekerja kini semakin besar.
Lagi pun, tambahnya, sebagai seorang rakyat Malaysia, beliau berhak bergiat dalam parti politik dan perkara itu dilakukan sejak 2004 apabila beliau bertanding dalam pilihan raya umum.
Berkeyakinan mempertahankan kerusi itu, Syed Shahir berkata MTUC masih memerlukan pemimpin yang lantang dan berani bersuara bagi memperjuangkan hak mereka.
Sementara itu, ditanya tentang laporan media bahawa MTUC 'kehilangan taring' kerana kepimpinan kongres dilemahkan akibat perpecahan dalaman, Syed Shahir menafikannya.
"Tidak bolehlah perkara itu dijadikan sebagai alasan. MTUC ini badan gabungan. Kita ada lebih 600 kesatuan di bawah," katanya sambil menambah terdapat juga faktor luaran seperti pengiktirafan pemerintah mesti diambil kira dalam isu itu.
Jika berjaya bertahan, Syed Shahir akan meneruskan legasinya selama dua penggal dalam kesatuan itu sebelum ini.
Pemilihan MTUC bulan depan dianggap penting bagi menentukan hala tuju kira-kira 11 juta pekerja di negara ini bagi menghadapi dunia pekerjaan yang pantas berubah.

