Nazri: Jangan perlekeh perlembagaan persekutuan
Orang ramai hari ini diminta supaya tidak memperlekeh peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Beliau berkata sekiranya terdapat cubaan untuk memperlekeh atau menyoal kesahihan peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya terhadap perkara yang tidak boleh dipersoalkan, seseorang itu boleh dituduh melakukan suatu kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948 [Akta 15].
"Kerajaan telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan terjamin keluhurannya dan bebas daripada apa-apa cubaan untuk memperlekehkannya," katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan juga telah mengambil langkah untuk menjamin keluhuran Perlembagaan Persekutuan dengan menetapkan ketaatan yang sepenuhnya atau pematuhan yang setia kepada Rukun Negara seperti yang terungkap dalam prinsip Rukun Negara ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan.
"Sejajar dengan itu menjadi tanggungjawab setiap warganegara Malaysia untuk mempertahankan dan mendukung Perlembagaan Persekutuan disamping harus akur dan taat kepada prinsip-prinsip Rukun Negara," katanya.
Beliau menjawab pertanyaan Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) mengenai tindakan kerajaan dalam memastikan Perlembagaan Negara benar-benar terjamin keluhurannya serta bebas daripada sebarang cubaan memperlekehkannya kesan percaturan politik yang semakin tempang.
Mohamed Nazri berkata bagi memperkasa prinsip Rukun Negara, kerajaan telah menggubal Akta Latihan Khidmat Negara 2003 [Akta 628] untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran dan kehadiran peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Malaysia berdasarkan falsafah Rukun Negara.
"PLKN mensasarkan pencapaian objektif untuk menanam semangat patriotisme di kalangan generasi muda atau remaja Malaysia, memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional serta membentuk perwatakan positif menerusi nilai-nilai murni," katanya.
Melalui PLKN, beliau berkata semangat patriotisme akan dapat disemai di kalangan rakyat selain dapat membantu mengekalkan persefahaman, semangat kenegaraan, kerjasama, perpaduan dan toleransi antara kaum di negara ini.
Mohamed Nazri berkata usaha dilaksanakan kerajaan bagi memastikan Perlembagaan Persekutuan terjamin keluhurannya turut dapat dilihat melalui peruntukan dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Perlembagaan ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
Beliau berkata keluhuran Perlembagaan Persekutuan juga terjamin dengan adanya Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk mencegah mana-mana individu daripada membuat kenyataan yang boleh menyentuh sensitiviti kaum yang ada di negara ini.
- Bernama

