Kurang patriotik: Zahid perlu jelaskan, kata TPM

   

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu memberi penjelasan sebenarnya berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat pada Selasa yang dilihat oleh sesetengah pihak seolah-olah menggambarkan "bukan Melayu tidak ramai menyertai tentera kerana kurang semangat patriotik".

NONE Ketika membuat seruan itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata penjelasan itu penting bagi membetulkan keadaan.

"Saya tidak membaca atau tidak berada di Parlimen (waktu itu) tetapi daripada kenyataan yang terkeluar dan reaksi daripada beberapa pihak, mungkin Datuk Zahid perlu membuat penjelasan yang sebenarnya dan apa pendirian perkara itu.

"Bagi kita, kita tidak melihat keadaan sebegitu, kalaupun tidak ada penyertaan, saya fikir kita tidak seharusnya mempertikai kesetiaan mana-mana pihak yang menjadi rakyat (negara ini) sama ada Melayu, India, Cina...mungkin ada sebab-sebab yang lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kongres Parti Bersatu Sabah (PBS) di Hongkod Koisaan di Penampang hari ini.

Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas reaksi para pemimpin politik termasuk beberapa Anggota Parlimen pakatan pembangkang yang menggangap kenyataan Ahmad Zahid itu rasis, tidak berasas dan menyinggung perasaan bukan Melayu.

ahmad zahid hamidi "Kalaulah dianggap terlanjur...itupun saya tidak pasti. Tiada masalah meminta maaf...biasalah manusia (buat silap) saya pun biasa minta maaf kepada orang bila tersilap," katanya.

Semalam, Ahmad Zahid berkata jawapannya di Dewan Rakyat mengenai faktor-faktor rendahnya penyertaan bukan Melayu dalam angkatan tentera dibuat berdasarkan dapatan kaji selidik ilmiah.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak yang menyifatkan beliau tidak sensitif dan mempertikai kesetiaan dan integiriti kaum bukan Melayu kerana beliau tidak pernah menyatakan begitu mahupun berniat atau bermaksud berbuat demikian.

- Bernama

Malaysiakini
terkini untuk anda