Fadzil ketua pambangkang baru
Barisan Alternatif memilih Presiden PAS Fadzil Noor sebagai ketua pembangkang yang baru. Beliau menggantikan Lim Kit Siang dari DAP yang dilantik sejak 1975.
Keputusan ini diumumkan oleh Presiden PRM Dr Syed Husin Ali selepas mesyuarat BA selama tiga jam. Syed Husin menjelaskan pemilihan Fadzil sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat dicadangkan oleh DAP dan disokong oleh KeADILan.
Perlantikan seorang ketua pembangkang Melayu akan mengurangkan sentimen perkauman yang sering digunakan untuk menekan parti-parti pembangkang dalam sidang dewan, jelas Ahmad Lutfi Othman, seorang pengulas politik.
Misalnya, tambah Lutfi lagi, dalam isu skandal kerugian Bumiputra Malaysia Finance (BMF), Kit Siang dituduh oleh sebilangan Ahli Parlimen Umno cuba mempertikaikan kemampuan pengurusan kaum Bumiputera, padahal isu sebenarnya ialah integriti dan ketelusan.
"Sentimen perkauman itu tidak dapat lagi berbangkit dengan pemilihan seorang ketua pembangkang Melayu," jelasnya.
Beliau tidak menjangkakan Fadzil akan tergesa-gesa mengutamakan dasar-dasar Islam. "PAS mestilah realistik -- mereka juga memerlukan sokongan bukan Islam. Fadzil mesti membawa pendekatan barupolitik PAS dan mampu mengubah tanggapan serong orang ramai terhadap parti itu," tambah Lutfi.
Fadzil, dilihat sebagai seorang pemimpin sederhana, dipilih sebagai Presiden PAS sejak 1989. Beliau pertama kali memenangi kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum lalu.
Pengerusi DAP Lim Kit Siang sebelum ini menyatakan kebimbangannya perbahasan di Dewan Rakyat akan bertukar ke arah dasar-dasar Islam. Namun, jelas Kit Siang, tidaklah wajar baginya menasihati Fadzil apakah yang patut beliau lakukan sebagai seorang ketua pembangkang.
Bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ong Tee Kiat, ketika dihubungi malaysiakini berkata, "Terlalu awal untuk memberikan sebarang ulasan mengenai prestasi seseorang."
Semalam, Kit Siang menggesa kerajaan agar meningkatkan kedudukan ketua pembangkang setaraf menteri. Beliau berhujah elaun yang diterima oleh ketua pembangkang sepatutnya sama dengan seorang menteri kabinet dan seseorang ketua pembangkang juga wajar disediakan kemudahan dan keistimewaan yang setaraf.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.