Semalam adalah satu lagi peristiwa hitam bagi kebebasan wartawan. Selepas empat tahun menulis di New Straits Times melalui satu kolum yang cukup popular "Perforated Sheets", bekas penulis tamu akhbar itu, Amir Muhammad, dimaklumkan ruangan tersebut terpaksa dihentikan.

Penyunting sastera NST , Kee Thuan Chye, berkata melalui satu mesej yang dikirimkan ke satu kumpulan diskusi elektronik, "keputusan itu datangnya daripada pihak tertinggi sidang pengarang." "Satu sumber daripada sidang pengarang NST ada membayangkan bahawa Menteri Kewangan Pertama Daim Zainuddin begitu marah apabila sebuah tulisan Amir bertajuk 'Need for Alternatives' (Keperluan bagi Alternatif), keluar dalam akhbar itu menjelang pilihan raya umum lalu."

Rencana "The need for alternatives," ditulis pada 21 Nov, merupakan karya satira politik mengenai "kedai buku" di Malaysia.

Amir menjelaskan kepada malaysiakini bahawa beliau menerima arahan pemberhentian itu melalui panggilan telefon sebaik sahaja beliau menyiapkan tulisan terakhir untuk ruangan itu, "Da young shall inherit."

"Pertama-tama lintasan fikiran saya ialah: 'Anak Haram!" jelas Amir. "Tetapi 'kan, daripada menjeruk perasaan, saya mengambil semangat dari lagu perjuangan hak-hak sivil 'We shall overcome' dan lirik lagu Madonna 'I get up again, over and over'."

Beliau mengaku seronok menulis untuk NST tetapi sukar juga kerana terpaksa menapis idea-idea sendiri.

"Akhbar-akhbar kita begitu berhati-hati apabila tiba musim pilihanraya dan nampaknya saya dianggap satu malapetaka. Saya tidaklah terperanjat sangat; saya sedar masalah akan timbul apabila tulisan saya yang mengulas karya Zunar [buku 'Malaysia Boleh!' yang disiapkan oleh kartunis Harakah , Zunar] dibuang begitu sahaja pada bulan Oktober dan tulisan saya 'The need for alternatives' dipotong setengah pada bulan berikutnya," jelas Amir selanjutnya.

Menurut satu sumber dalam NST , Amir telah menyentuh isu-isu politik walaupun ruangan itu khusus untuk sastera. Lagipun, beliau menyediakan satu pandangan alternatif kepada pembaca. Ruangan itu, jelas sumber itu lagi, telah "membangkitkan kemarahan mereka yang menguasai akhbar harian berkenaan."

Kee menjelaskan bahawa beliau sudah cuba memujuk pihak pengurusan akhbar itu agar meneruskan siaran tulisan terakhir Amir tetapi usahanya itu gagal.

"Saya merayu kepada pihak pengurusan agar tulisan terakhir Amir itu diterbitkan untuk kali terakhir melalui kolum tersebut, tetapi jawaban mereka tetap 'tidak'," jelasnya.

Amir, seorang penulis bebas, tidak akan berganjak.

Beliau akan terus menulis dan akan menyumbang tulisan-tulisan dalam Internet. Pembaca boleh mencapai karya-karyanya di www.egroups.com/group/amir-muhammad .

Antara karya Amir yang tersimpan di laman web itu ialah ulasan kontroversi mengenai buku "Malaysia Boleh!" karya Zunar, teks penuh rencana "The need for alternatives" dan juga tulisan terakhir yang disiapkan untuk ruangan di akhbar itu "Da young shall inherit".