Gabenor Pattani, Nipon Naraphitakul berkata beliau menggunakan pendekatan konsep 1Malaysia dalam mengekalkan keamanan di Selatan Thailand yang sentiasa bergolak.

Beliau, yakin keamanan boleh wujud di wilayah itu melalui pendekatan1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang banyak dilaporkan oleh media di negara itu, sekiranya kerjasama dengan golongan ulama, imam dan guru-guru agama di wilayah itu sekarang dapat diteruskan.

"Pendekatan yang diambil melalui konsep 1Malaysia yang dibawa oleh Najib amat berkesan dalam usaha mengembalikan keamanan di wilayah Pattani. Kita ada dua kumpulan sahaja iaitu orang Melayu sebanyak 80 peratus dan orang Buddha 20 peratus, masyarakat Cina terlalu kecil," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas menghadiri satu mesyuarat di Sungai Golok, Selatan Thailand.

Lebih 4,000 orang maut dalam kejadian keganasan yang berlaku di tiga wilayah bergolak di Selatan Thailand - Pattani, Yala dan Narathiwat, sejak enam tahun lepas.

Susulan daripada peristiwa itu, keamanan Selatan Thailand sentiasa terumbang-ambing dengan susulan pembunuhan dan beberapa siri serangan bom.

Nipon berkata jika Malaysia yang didiami oleh pelbagai kaum termasuk Cina dan India boleh disatukan dengan aman kenapa tidak di kawasannya yang hanya mempunyai dua kaum saja.

Justeru, beliau yakin dalam masa enam bulan keamanan dapat dicapai dan menjadi wilayah terunggul dengan kedatangan pelancong di selatan negara itu.

Berdasarkan impiannya untuk melihat wilayahnya membangun, Nipon berkata setiap minggu beliau akan berkunjung ke kampung-kampung di Selatan Thailand untuk berjumpa dengan imam-imam dan guru-guru agama dan membincangkan langkah-langkah ke arah mengembalikan keamanan di wilayah itu.

"Peringkat pertama saya jumpa semua guru agama, ulama dan imam-imam berbincang bagaimana untuk mencapai keamanan di kawasan ini, dia beri pandangan dia, saya guna pandangan itu.

"Hasil pertemuan itu, sekarang kita sudah nampak reda sikit, kalau dulu kerap berlaku tembak menembak dan bom sekarang sudah tidak kedengaran lagi, kalau ada pun jarang-jarang sekali," katanya yang dilantik pada Oktober lepas.

Beliau berkata selepas perjumpaan pertama, beliau secara individu bertemu golongan terbabit pada setiap Jumaat meminta mereka menyelesaikan masalah dalaman sekiranya wujdu masalah.

Nipon berkata beliau ditugaskan sebagai gabenor "di kampung" sendiri yang dianggapnya bukanlah satu tanggungjawab yang mudah untuk menyelesaikan masalah itu dan berhasrat untuk membawa keamanan di kawasan itu sebagaimana yang diharapkan oleh kerajaan Thailand.

"Sebagai gabenor muslim di tempat sendiri kita tahu perkara cara menyelesaikannya dan bagaimana menyelesaikannya. Kita tidak kata kepada dia apa yang boleh kita bantu dalam menyelesaikan masalah itu tetapi kita minta dia bantu menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.

--Bernama