Najib temui warga Felda di Putrajaya 12 Disember
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual menutup Karnival Ikatan Hati Warga Felda (Iktiraf) 2010 yang menghimpunkan 50,000 warga Felda di Medan Pancarona, Putrajaya, 12 Disember depan.
Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abdul Wahab, berkata karnival tiga hari bermula 10 Disember itu adalah kemuncak kepada Karnival Iktiraf peringkat wilayah yang diadakan sejak Julai di 11 wilayah Felda di seluruh negara.
Katanya, Iktiraf adalah program yang digerakkan oleh Seranta (Felda) Jabatan Perdana Menteri dan Felda dengan kerjasama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bagi memenuhi aspirasi Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Felda.
"Ia juga adalah pentas bagi generasi baru Felda berkumpul, sama ada mereka masih tinggal dalam tanah rancangan ataupun telah keluar termasuk mereka yang sedang belajar.
"Di sini mereka akan terbabit dalam pelbagai program khusus yang dirancang untuk memotivasikan diri selain diberikan penerangan secara langsung mengenai perkembangan terbaru Felda," katanya pada sidang media majlis pelancaran karnival yang bertemakan 'Mendaya Bangsa, Melestari Perjuangan' di Felda Villa di Kuala Lumpur, hari ini.
Dzulkifli berkata, Iktiraf yang kali pertama dianjurkan tahun lalu, bertujuan membangun komuniti Felda secara holistik dengan menitik beratkan peningkatan kualiti insaniah, pemerkasaan organisasi dan penyuburan semangat muhibah dalam kalangan pelbagai komponen warga Felda.
Sebanyak 200 tapak pameran dan jualan disediakan pada karnival itu. Maklumat lanjut mengenainya boleh diketahui melalui www.facebook.com/iktiraf2010.
- Bernama

