Bursa: Tiada perbincangan gabung dengan ASX
Bursa Malaysia menafikan dakwaan bahawa Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Datuk Yusli Mohamed Yusoff menolak tawaran untuk membincangkan penggabungan dengan Bursa Sekuriti Australia (ASX).
"Bursa Malaysia menafikan dakwaan yang dibuat dalam artikel yang diterbitkan dalam laman web Taikors and Taikuns (www.tnt.net.my) bertajuk “Apabila Bursa menolak tawaran penggabungan ASX, Bursa Saham Singapura (SGX) sertai”," ketika ditanya oleh Bernama mengenai artikel itu.
Bursa Malaysia mengesahkan tiada perbincangan seperti itu berlaku.
Bursa itu berkata ia memandang serius kenyataan yang tidak tepat dan memberi gambaran salah itu.
"Kami meminta laman web itu menarik balik/membetulkan kesilapan artikel terbabit. Laman web itu tidak menyatakan secara khusus sumber, dan semata-mata memetik sumber yang tidak mahu dikenali," katanya.
Menurut laman web itu, apabila CEO ASX melawat Malaysia pada Jun lalu untuk membuat tawaran berani kepada rakan sejawatanya di Malaysia untuk menggabungkan Bursa Malaysia dan ASX sebagai rakan usaha sama saksama, tawaran itu ditolak oleh CEO Bursa Malaysia tanpa merujuk perkara itu kepada lembaga pengarah untuk pertimbangan.
Setelah ditolak oleh Yusli, pengarah urusan dan CEO ASX Robert Elstone kemudiannya beralih kepada bursa pilihan keduanya dengan menghubungi CEO Bursa Saham Singapura, Magnus Bocker.
Dalam tempoh 16 minggu berikutnya, Bocker menyatukan tawaran untuk SGX membuat tawaran bidaan terus untuk membeli ASX pada lewat Oktober.
Laporan pada 24 Okt menyebut, SGX mengesahkan ia akan membeli operator bursa saham utama Australia, ASX, bagi sejumlah 8.4 bilion dollar Australia.
Penggabungan itu bermatlamat mengelak ancaman sistem dagangan altenatif, selari dengan perolehan baharu untuk pertumbuhan dan penjimatan kos.
Janji niaga itu jika diluluskan, merupakan penyepaduan utama pertama bursa saham Asia Pasifik yang menghasilkan penjimatan kos sebanyak A$30 juta.
SGX menawarkan 22 dollar Australia tunai bagi sesaham selain 3.473 sahamnya untuk setiap saham ASX.
Urus niaga itu memerlukan kelulusan Lembaga Semakan Pelaburan Asing Australia, memandangkan 23 peratus saham bursa saham Singapura dimiliki oleh Dana Pembangunan Sektor Kewangan, yang dikawal oleh bank pusat Singapura.
- Bernama

