Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang bakal ditubuhkan tidak lama lagi dijangka dapat mencari kaedah terbaik bagi memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu dengan betul, sekali gus menjamin kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.

NONE Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong berkata, penubuhan jawatankuasa itu merupakan salah satu komitmen kerajaan untuk membetulkan masalah penyalahgunaan Bahasa Melayu, termasuk penggunaan bahasa rojak oleh penyampai radio, iklan-iklan di radio dan televisyen serta di papan-papan tanda yang semakin meluas.

"Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) akan pengerusikan mesyuarat penubuhan Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan ini pada 30 November ini.

"Dengan adanya mekanisme ini apa juga masalah dari segi pengunaan bahasa akan dapat dirumus dan dicari formula (penyelesaian). Kita memang bertungkus lumus untuk membetulkan apa yang tidak betul,” katanya.

Wee menjawab soalan tambahan Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat hari ini yang bertanya bila kerajaan akan benar-benar melaksanakan segala perundangan yang diwujudkan untuk menjamin penggunaan bahasa Melayu yang betul.

- Bernama