BERITA

'Presiden Laos teruja dengan Felda'

Diterbitkan
Dikemaskini 25 Nov 2010, 9:12 pagi

Kejayaan Felda mengeluarkan rakyat daripada arus kemiskinan terus mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila ditawarkan bekerjasama untuk membuat penerokaan tanah di negara Laos.

NONE Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Noor ( kiri, tengah ) berkata Presiden Laos Choummaly Sayasone menyatakan rasa kagum terhadap keberkesanan Felda dan berhasrat bekerjasama bagi membangunkan tanah di Laos ketika melakukan lawatan ke Wisma Felda hari ini.

"Presiden Laos telah menyatakan senang hatinya setelah mendapat maklumat tentang Felda dan beliau sangat teruja dengan kejayaan Felda sejak dari awal penubuhannya sehingga kini hinggakan menyatakan keinginan beliau untuk bertukar pengalaman dan kepakaran antara pegawai dari negara itu dengan Felda mengenai pembangunan tanah.

"Beliau berminat untuk mengambil pengalaman Felda menghadapi kesulitan di peringkat awal (penubuhan) iaitu pada 10 tahun pertama dan bagaimana Felda berjaya melepasi period kesulitan itu," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan delegasi Laos di pejabatnya di Kuala Lumpur.

indian rubber plantation worker 030905 Mohd Yusof berkata pelawaan tersebut tepat pada masanya kerana Felda kini melihat potensi untuk memperluaskan perladangan getah berdasarkan permintaan dan harga yang tinggi terhadap barangan komoditi itu.

Katanya setakat ini Felda hanya mempunyai 10 peratus tanah yang ditanam getah berbanding 90 peratus penanaman kelapa sawit di lebih 800,000 hektar tanah yang diusahakan di 317 Rancangan Tanah Felda di seluruh negara.

Menurutnya sebagai permulaan kerjasama, Felda akan menghantar pegawai teknikal ke Laos bagi mengkaji potensi terutamanya daripada aspek kesesuaian tanah khususnya penanaman getah sejurus kepulangan Presiden Choummaly ke negaranya.

Beliau berkata peruntukan bagi penerokaan di Laos tidak menjadi masalah kerana Felda memiliki aset kira-kira RM17 bilion sekiranya didapati sesuatu pelaburan itu mampu membawa kebaikan kepada Felda.

Felda Terdahulu, Mohd Yusof serta pihak pengurusan Felda menerima kunjungan Presiden Laos yang tiba di perkarangan Wisma Felda dengan diiringi tujuh menteri Kabinet dan pegawai kanan pentadbirannya.

Rombongan itu kemudiannya diberi taklimat ringkas mengenai pembangunan Felda oleh Pengarah Besar Felda Datuk Dzulkifli Abdul Wahab selain dibawa melawat ke balai sejarah Felda dan kedai produk usahawan Felda di bangunan tersebut selama dua jam.

Choummaly dan rombongannya berada di Malaysia sempena lawatan rasmi selama dua hari bermula semalam.

--Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.