Sesebuah negara boleh musnah sekiranya kepakaran perhubungan raya yang diamalkan negara itu disalahgunakan oleh pengamalnya, kata presiden Institut Perhubungan Raya Malaysia (IPRM) Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan.

Beliau berkata jika tidak dikawal rapi, perhubungan raya mudah mengakibatkan huru-hara dalam sesebuah negara kerana ia melibatkan pelbagai kaedah dan saluran komunikasi yang sentiasa berusaha mempengaruhi pendapat umum.

"Antara kegiatan negatif yang dilakukan segelintir pengamal perhubungan awam ialah 'spin doctoring', 'flacks', 'astroturfing', 'opponent defining' dan 'fronting'.

"Semua kegiatan ini boleh menggugat ketenteraman negara," katanya dalam Bicara Media Meningkatkan Amalan Perhubungan Awam Melalui Akta Perhubungan Raya, di Kuala Lumpur hari ini.   

hamdan adnan 00 Sehubungan itu, beliau berkata sudah tiba masanya bagi Malaysia mewujudkan Akta Profesion Perhubungan Raya berasaskan kepada keadaan semasa dan proses globalisasi mendadak dan tidak menentu.

"Pengamal perhubungan raya juga harus mengutamakan kepentingan awam daripada kebajikan organisasi dan sendiri.

"Ini sudah termaktub dalam beberapa akta yang diwujudkan untuk menuntut pengamal perhubungan awam memberi keutamaan kepada masyarakat dan negara termasuk Akta Hasutan dan Akta Rahsia Rasmi," katanya.    

Hamdan berkata pengamal perhubungan raya di Malaysia juga diberi kebebasan dan tanggungjawab secukupnya untuk bertindak demi menjalankan tugas asalkan tidak bercanggah dengan perundangan negara.

"Kini, hampir semua organisasi memerlukan pelbagai kepakaran perhubungan awam dan pengamal perhubungan awam harus memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang demi memenuhi permintaan majikan," katanya.

Katanya antara faedah yang dapat dinikmati pengamal perhubungan awam melalui pelaksanaan akta itu ialah memastikan pengiktirafan dan pemartabatan kerjaya Perhubungan Awam di Malaysia.

"Selain dapat memantau perkembangan dan pengamalan industri dan profesional perhubungan awam, kita juga boleh memastikan pengamal perhubungan awam di negara ini memiliki pendidikan, latihan dan pengalaman yang sesuai sebelum diiktiraf sebagai pengamal bertauliah yang selaras dengan kerjaya lain yang dilindungi melalui akta," kata beliau.

Katanya usaha untuk mewujudkan Akta Profesion Perhubungan Raya dilakukan sejak 1999 dengan draf pertamanya telah dihantar kepada Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan dan Pejabat Peguam Negara.

Hamdan berkata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim turut menyokong penggubalan akta itu dan akan membantu usaha memartabatkan amalan perhubungan raya melalui akta berkenaan.

"Datuk Rais turut memberikan cadangan bernas termasuk meminta satu kajian dilakukan secara menyeluruh melibatkan para pengamal perhubungan awam di peringkat kementerian, jabatan dan agensi swasta, menganjurkan forum di media massa dan mempercepatkan proses penggubalan akta berkenaan," katanya.

Katanya cadangan untuk melesenkan kerjaya perhubungan awam melalui satu akta bukanlah fenomena abad ke-21 kerana tanpa pelesenan ia akan membenarkan sesiapa sahaja untuk mengaku dan bertindak sebagai profesional perhubungan raya.

Hamdan berkata United Kingdom, Greece, Brazil, Nigeria dan Panama sudah pun mewujudkan akta berkaitan profesion perhubungan raya.

- Bernama