Malaysiakini
BERITA Malaysiakini

Demo air: Chegubard tawar 50 'marsyal'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Sebuah NGO yang diketuai calon ketua Pemuda PKR (AMK) Badrul Hisham Shaharin menawarkan sekurang-kurangnya 50 'marsyal demo' bagi memastikan kelancaran perhimpunan 'baju merah' Ahad ini.

Menurut Badrul, sukarelawan Solidariti anak muda malaysia (SAMM) yang menawarkan diri itu berpengalaman mengendalikan demonstrasi sejak 1998 dan terlibat dalam perhimpunan besar seperti 'demonstrasi BERSIH' sebelum ini.

protes klcc price hike 260108 badrul hisham "Difahamkan seperti biasa unit sukarelawan merah (unit amal) akan menjadi petugas utama dalam acara tersebut.

"Maka petugas SAMM akan menbantu dan bergabung dengan mereka," kata Badrul ( kiri ) yang tewas di tangan penyandang AMK Shamsul Iskandar Md Akin minggu lalu.

Ahad ini, Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dijadual mengetuai perarakan besar dari Masjid Negara ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum dan petisyen memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong campurtangan menyekat kenaikan harga air sebanyak 37 peratus di negeri itu.

Kumpulan ini yang berbaju merah berkemungkinan bertembung dengan sebuah lagi kumpulan yang 'antipenyelewengan' kerajaan negeri (berbaju hitam) yang turut menuju ke tempat yang sama bagi menyerahkan memorandum mereka.

azlan Dalam satu kenyataan, Badrul menyeru semua anak muda dan jentera kerajaan negeri turut serta atas "semangat ketuanan rakyat" bagi merpertahankan hak asas bagi mendapat bekalan air.

"Ini juga kali pertama dalam sejarah, himpunan dianjurkan (oleh) kerajaan negeri," katanya yang juga bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR.

Mempertahankan keabsahan tindakan mereka, Badrul berkata, perarakan ke Istana Negara merupakan "praktik membesarkan institusi beraja" bagi membolehkan rakyat mengadu masalah.

"Siapa yang mengganggu urusan rakyat mengadap raja boleh dikira derhaka," tegas Badrul.

Badrul juga berharap pihak polis "bertindak lebih waras" mengawal perhimpunan itu memandangkan mahkamah sebelum ini membebaskan tertuduh dalam perhimpunan BERSIH atas alasan Masjid Negara tempat awam dan orang ramai bebas berkumpul.