Speaker Dewan Rakyat Tun Dr Mohamed Zahir Ismail hari ini melahirkan rasa dukacitanya kerana beberapa perkataan yang tidak bersopan telah digunakan sewaktu perbahasan di dewan itu Selasa lalu.

Bernama

melaporkan beliau sebagai berkata, pada hari berkenaan, persidangan dewan menjadi riuh-rendah dan suasana sungguh tidak tenteram.

"Ini tidak sepatutnya berlaku antara ahli-ahli yang berhormat yang menjadi pemimpin-pemimpin negara yang membincangkan soal-soal negara," katanya.

Teguran Mohamed Zahir itu merujuk kepada persidangan dewan Selasa lalu, sewaktu Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Noh Omar menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pihak Jabatan Perdana Menteri.

Semasa penggulungan itu, Noh telah mengeluarkan perkataan "kalau hendak urut janggut Nik Aziz pun boleh" menyebabkan beberapa anggota pembangkang bangun dan mendesak beliau menarik balik ucapannya itu kerana ia menghina keperibadian Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat ( gambar ).

Suasana dewan riuh rendah dan tidak tenteram apabila Mohamad Sabu (PAS-Kuala Kedah) menepuk meja dan dengan lantang menjerit menyatakan Noh sebagai "kurang ajar" kerana menghina Nik Aziz.

Tidak sopan

Jeritan "kurang ajar" itu turut dilaungkan beberapa anggota pembangkang lain.

Suasana itu tamat apabila pengerusi mesyuarat ketika itu, Datuk Muhamad Abdullah mengisytiharkan sidang dewan untuk hari itu ditangguhkan dan meminta Noh menyambung keesokan harinya.

Pada hari berikutnya, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Kuala Terengganu) telah meminta Mohamed Zahir, yang mempengerusikan mesyuarat, supaya membuat satu arahan berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(9) kerana ungkapan Noh itu menyentuh sifat dan keperibadian serta menyinggung perasaan umat Islam, secara amnya.

Bagaimanapun, Mohamed Zahir ketika itu, berkata beliau tidak mengetahui apa yang berlaku ketika perbahasan dan perlu membaca "Hansard" (catatan ucapan di dewan) terlebih dahulu sebelum membuat sebarang arahan.

Setelah diteliti, katanya, beliau mendapati memang ada perkataan tidak sopan telah digunakan.

"Harap perkara ini tidak berlaku pada masa depan dan haraplah juga perjalanan mesyuarat dewan ini lebih tenteram untuk membayangkan kematangan ahli-ahli Yang Berhormat sekelian," kata Mohamed Zahir.