PEMANDU: Waspada dengan komplot kutip deposit
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) tidak pernah melantik sebarang individu, syarikat atau pertubuhan bagi mempelawa orang ramai untuk mendepositkan wang dengan janji mendapatkan geran buat mereka untuk projek.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan melalui laman webnya, PEMANDU mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dengan mereka yang mendakwa menawarkan akses kepada geran Bidang Keberhasilan Utama Negara dan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA/NKRA) yang juga sebahagian dari Program Transformasi Kerajaan/Program Transformasi Ekonomi.
"PEMANDU ingin menasihatkan orang ramai bahawa ia tidak mengagih-agihkan geran melalui mana-mana individu, syarikat atau pertubuhan atau telah melantik mana-mana syarikat untuk mendapatkan projek-projek bagi pihaknya.
"Sesiapa yang telah diminta untuk mendepositkan sejumlah wang bagi mendapatkan geran yang dikatakan itu diminta supaya membuat laporan di balai polis berdekatan dengan segera," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, satu sumber dalam PEMANDU, ketika dihubungi, berkata ia akan membuat satu laporan polis tidak lama lagi tetapi enggan mengulas.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dinasihatkan menghubungi Barbara Dubah Jabu melalui e-mel barbara@pemandu.gov.my atau boleh melayari laman web Pemandu di http://pemandu.gov.my untuk maklumat lanjut.
PEMANDU ditubuhkan pada 16 September 2009 dan adalah satu unit di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertujuan untuk menyelia pelaksanaan dan mengetahui perkembangan dalam program transformasi kerajaan, menyediakan kemudahan dan juga sokongan bagi NKRA dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).

