Rais: Jangan biar tindakan perkecil institusi raja
Kesan sejarah serta tradisi Raja-raja Melayu perlu dikekalkan sebagai lambang warisan negara kerana ia berhubung kait dengan Perlembagaan negara, kata Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim.
Untuk itu, Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium Malaysia telah diarah untuk menjalankan penyelidikan bagi menentukan inisiatif yang boleh diambil untuk mengekalkan kesan serta artifak diraja di negara ini.
Beliau berkata penyelidikan termasuk pelan perancangan dan memperhalusi setiap artifak diraja itu akan dimulakan di Perlis.
"Banyak peninggalan diraja berhubung rapat dengan Perlembagaan seperti Perkara 38 iaitu berkaitan Majlis Raja-Raja dan Perkara 181 berkaitan kedaulatan raja-raja.
"Di Perlis contohnya, banyak kesan dan artifak harus dikekalkan, kementerian akan teliti kemungkinan Galeri DiRajanya dapat dibantu kerana ia lambang kebesaran dan kemuliaan Raja Melayu," katanya kepada pemberita selepas melawat Galeri DiRaja Perlis di Istana Arau, di Arau hari ini.
Turut berangkat bersama melawat galeri berkenaan ialah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perempuan Perlis, Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid dan isteri Rais, Datin Seri Maznah Rais.
Terdahulu, Raja Perlis berkenan mengurniakan Darjah Seri Paduka Mahkota Perlis (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Rais pada istiadat khas di Balai Menghadap, Istana Arau di sini hari ini sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-67 dan tahun ke-10 pemerintahan baginda.
Selain mengekalkan kesan sejarah Raja Melayu, Rais berkata rakyat negara ini khususnya kaum Melayu juga diingatkan supaya menghargai institusi diraja.
Beliau berkata, pihak yang suka memperkecilkan institusi raja tidak boleh dibiarkan terus melakukan perbuatan terbabit.
"Tindakan yang setimpal harus dikenakan, kata-kata sinis jika dibiarkan, maka kita akan berada dalam keadaan pecah belah," katanya.
- Bernama

