Kami bersedia menemui Gegar: Jawatankuasa
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan Islam, termasuk isu sekolah agama
rakyat (SAR), mengalu-alu sebarang pertemuan dengan Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar).
Setiausaha jawatankuasa tersebut, Izzudeen Effendi memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya mengalu-alukan hasrat Gegar untuk bertemu dan berbincang mengenai isu SAR.
"Kami sedar pertubuhan itu mewakili lebih 18 badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu ini dan sudah tentu pandangan mereka perlu dikongsi bersama," katanya.
Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji sistem pendidikan Islam, termasuk isu sekolah agama
rakyat (SAR), mengalu-alu sebarang pertemuan dengan Gerakan Bertindak Umat Selamatkan Sekolah Agama Rakyat (Gegar).
Setiausaha jawatankuasa tersebut, Izzudeen Effendi memberitahu malaysiakini bahawa pihaknya mengalu-alukan hasrat Gegar untuk bertemu dan berbincang mengenai isu SAR.
"Kami sedar pertubuhan itu mewakili lebih 18 badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu ini dan sudah tentu pandangan mereka perlu dikongsi bersama," katanya.
Setakat ini, katanya, jawatankuasa tersebut, yang diketuai bekas ketua pengarah pendidikan Tan Sri Murad Mohd Noor (
gambar
), belum lagi mendapat sebarang maklum balas rasmi dari pihak Gegar.
Sebelum itu, pengerusi Gegar, Mohd Azmi Abdul Hamid menyuarakan hasrat pihaknya untuk mengadakan perbincangan dengan jawatankasa tersebut supaya kajian yang dijalankan itu, turut mengambil kira semua pendapat berhubung masa depan SAR.
"Kami mahu pandangan Gegar - yang mewakili sekolah, guru dan ibubapa - diambilkira oleh mereka. Kita perlu diberi peluang mengambil bahagian dalam mencari jalan penyelesaian supaya sistem SAR terus dipelihara.," tegas Mohd Azmi lagi.
Pendokong SAR
Jika berpeluang menemui jawatankuasa tersebut, Mohd Azmi berkata pihaknya akan turut menyerahkan memorandum mengenai SAR.
Kontroversi berhubung isu SAR tercetus Oktober lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pemberhentian bantuan kewangan kepada sekolah agama tersebut.
Dr Mahathir mendakwa sekolah terbabit bukan menyebarkan pengajaran Islam tetapi sebaliknya menyemai kebencian pelajarnya terhadap kerajaan. Bagaimanapun, pendokong SAR menyangkal dakwaan itu dan berkata keputusan itu dibuat atas dasar politik Umno.
Akhir tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan memberi semula bantuan pekapita sebaliknya menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk mengkaji isu pendidikan Islam.
Sehubungan itu, beberapa pihak - termasuk Gegar dan Dewan Pemuda PAS - telah cuba meminta jasabaik pihak istana untuk menyelamatkan SAR dengan menghantar memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu bagi membantah tindakan kerajaan itu..
Dalam mesyuarat ke-196 Majlis Raja-Raja bulan lalu, sebuah jawatankuasa khas diarah ditubuhkan dengan mengambil kira kesemua memorandum yang telah diserahkan kepada majlis tersebut.
Sementara itu, sebuah akhbar harian dalam laporannya semalam, memetik Murad sebagai berkata pihaknya belum lagi menerima sebarang maklum balas daripada parti pembangkang tersebut.
Kurikulum agama
Apabila malaysiakini bertanyakan perkara ini kepada PAS, Ketua Dewan Pemuda parti, Mahfuz Omar berkata jawatankuasa tersebut boleh mendapatkan cadangan PAS melalui Majlis Raja-Raja.
"Kami telah menyerahkannya kepada majlis Raja-Raja yang telah mengarahkan jawatankuasa tersebut mengambil kira semua memorandum yang diterima. Jadi mereka boleh dapatkan dari Majlis Raja-Raja," katanya.
Bagaimanapun beliau belum lagi bercadang untuk mengadakan sebarang pertemuan dengan jawatankuasa khas itu sehingga Kementerian Pendidikan menjelaskan status sebenar jawatankuasa berkenaan.
"Mengikut rekod kami, jawatankuasa tersebut bukan ditubuhkan untuk mencari jalan penyelesaian bagi isu SAR tetapi untuk merombak kurikulum agama bagi memperkasakan sekolah kebangsaan.
"Yang kami bantah ialah tindakan kerajaan membatalkan bantuan perkapita dan beberapa tindakan yang boleh menyebabkan SAR terkubur. Kami kurang yakin jawatankuasa yang ditubuhkan oleh kerajaan itu boleh mengubahkan keputusan yang telah diambial oleh kerajaan," kata Mahfuz.
Sehingga tahun lalu, katanya, terdapat 268 SAR, iaitu 43 sekolah rendah (8,078 pelajar dan 520 guru) dan 225 sekolah menengah (66,375 pelajar dan 3,909 guru).

