BERITA Malaysiakini

'S'gor tak terlibat pelan pembangunan tapak surau'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kerajaan Selangor tidak terlibat langsung dengan pelan pembangunan tapak sebuah surau di Rawang yang dibantah sekumpulan penduduknya semalam, dakwa setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin.

Beliau menjelaskan bahawa tanah yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut dimiliki dua syarikat pemaju yang menjalankan projek tersebut secara usahasama.

NONE Sebuah daripada syarikat itu didakwa tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Faekah ( kiri ) berkata, pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu, termasuk pemimpin Umno sepatutnya, membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang "tuduhan liar".

Beliau juga mendakwa kerajaan terdahulu pimpinan BN sebenarnya yang telah meluluskan kedua-dua syarikat terbabit menjalankan projek tersebut atas tanah berkenaan, termasuk lot yang telah diwartakan untuk pembinaan surau.

“Fakta jelas mendedahkan siapa yang sebenarnya telah mengorban orang Melayu dan Islam di Rawang.

"Saya rasa mungkin lebih sesuai penduduk berhimpun di pejabat Umno dan MCA untuk membuat aduan mereka,” kata beliau dalam  kenyataan hari ini.

Jemput SPRM

Semalam, Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH) Kampung Melayu Rawang dilaporkan berhimpun dalam demonstrasi secara aman bagi membantah pengambilan tapak surau itu.

Penasihat BBSAH Datuk Ir Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata ketidakcekapan kerajaan negeri sekarang menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di pekan Rawang yang luasnya tidak seberapa, jatuh ke tangan swasta.

NONE Beberapa pemimpin BN, antaranya Pengerusi Biro Agama Umno Selangor Datuk Zainal Abidin Sakom juga kelihatan turut serta dalam perhimpunan itu.

Berhubung status gerai-gerai tanpa lesen yang beroperasi di sekitar surau berkenaan, Faekah berkata laporan awal yang diterima dari Pejabat Daerah Gombak mendedahkan ia dibina secara haram tetapi sewa dikutip oleh seorang bekas ahli jawatankuasa surau untuk mengisi tabung surau itu.

Bagaimanapun, katanya, ahli jawatankuasa baru surau berkenaan mendakwa kutipan itu tidak pernah disalurkan ke tabung surau.

“Saya menyeru polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan lanjut berkenaan hal ini dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memberi kerjasama penuh,” katanya.

Faekah juga berkata kerajaan Selangor akan memastikan penduduk di Kampung Melayu, Rawang, mempunyai kemudahan surau walaupun notis perobohan dan pemindahan telah dikeluarkan oleh syarikat pemaju bagi menjalankan projek pembangunan yang telah diluluskan lapan tahun lalu.

Kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut agar penduduk di kampung itu dapat terus menjalankan ibadat seperti biasa.