versi terkini

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan adik angkatnya Sukma Darmawan Sasmitaat Madja untuk membatalkan hukuman penjara yang dijatuhkan ke atas mereka bagi kesalahan liwat.

Mahkamah sebulat suara mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Anwar dan penjara enam tahun dan empat sebatan terhadap Sukma Darmawan.

Mahkamah juga mengetepikan permohonan Anwar ( kiri: gambar arkib Julai 2002 ) untuk dibebaskan dengan jaminan sementara menunggu keputusan rayuan kes liwatnya di Mahkamah Rayuan.

Anwar dan Sukma Darmawan didapati bersalah meliwat Azizan Abu Bakar, bekas pemandu isteri Anwar, Dr Wan Azizah Wan Ismail, di apartmen Sukma di Tivoli Villa, Bangsar, di Kuala Lumpur pada 7.45 malam antara Januari dan Mac 1993.

Hukuman penjara enam tahun ke atas Anwar bagi pensabitan kes pertamanya, iaitu salahguna kuasa, tamat pada 14 April lalu.

Jaminan

Dalam keputusan yang agak mengejutkan, panel hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Pajan Singh Gill, Datuk Hashim Mohd Yusof dan Datuk Richard Malanjum, turut membatalkan ikatjamin Sukma dan memerintahkannya supaya menjalani hukuman mulai hari ini.

Pajan Singh berkata alasan penghakiman akan diberikan apabila tiba waktunya.

Sukma dibenarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Dis, 1998.

Walaupun Anwar dijatuhkan hukuman sembilan tahun penjara, tetapi hukuman biasanya dikurangkan satu pertiga jika banduan berkelakuan baik.

Ini bermakna, Anwar dijangka menjalani hukuman penjara selama enam tahun dan dibebaskan pada 14 April 2009 ketika berusia 62 tahun.

"Apa yang boleh anda harapkan daripada hakim-hakim baru ini? Mereka memang dipilih untuk membuat keputusan ini," kata Anwar selepas keputusan itu diumumkan.

Pelukan

"Malaysia tidak bezanya daripada rejim (Robert) Mugabe dan Saddam Hussein di mana pihak kehakiman telah digunakan sebagai alat politik," tambahnya.

Bagaimanapun, beliau meminta para penyokongnya supaya tenang dan menyatakan bantahan mereka melalui peti undi.

Sementara itu, mahkamah yang dipenuhi dengan para wartawan, anggota keluarga Anwar dan Sukma serta orang awam, dikawal ketat oleh sekurang-kurangnya 30 anggota polis dan warden penjara.

Anwar yang memakai alat penyokong leher, dan menaiki kerusi roda, kemudiannya kelihatan memeluk anak-anaknya, Nurul Izzah, Nurul Nuha dan Nurul Ilham yang kelihatan amat kecewa dengan keputusan mahkamah hari ini.

Mahkamah membuat keputusan sebulat suara itu selepas mendengar hujah pihak pendakwa dan pembela selama sembilan hari.

Permohonan baru

Barisan pendakwaraya diketuai oleh Peguam Negara, Datuk Abdul Gani Patail manakala pasukan peguam Anwar diketuai oleh Christopher Fernando dan Karpal Singh.

Para penyokong Anwar yang berada di luar mahkamah kedengaran mengeluh selepas keputusan itu diumumkan.

Sebaik sahaja Pajan Singh mengumpukan keputusan itu, peguam Anwar, Karpal Singh memberitahu mahkamah yang pihaknya mahu mengemukakan permohonan baru bagi mendapatkan ikatjamin bagi Anwar dan Sukma.

"Dengan penuh hormat, kami tidak dapat menerima keputusan mahkamah. Kamu akan membuat permohonan lisan untuk ikatjamin, dan memerlukan tempoh satu jam untuk mengumpulkan kes-kes contoh bagi menyokong hujah kami. Mahkamah perlu mendengarnya hari ini dan membuat keputusan mengenainya," kata Karpal ( kiri ).

Apabila Pajan Singh memberitahunya supaya mengemukakan permohonan rasmi, Karpal mendesak mahkamah supaya menerima permohonan lisan dan mendengar hujah mereka hari ini juga. Hakim kemudiannya meminta tempoh 15 minit untuk menimbang perkara itu.

Tidak puashati

Bagaimanapun, 20 minit kemudian, peguamnya memberitahu Anwar bahawa para hakim tidak mahu meneruskan sidang, dan sebaliknya memberitahu mereka supaya mengemukakan permohonan rasmi mengenainya.

Apabila permohonan mereka untuk menemui hakim dalam kamar juga ditolak, peguam Anwar telah pergi ke pejabat Ketua Hakim Negara, Tan Sri Ahmad Fairuz sheikh Abdul Halim pada jam 11.15 pagi.

Ketika ditemui pemberita selepas pertemuan itu, Karpal memberitahu bahawa ketiga-tiga hakim itu telah dinasihatkan supaya meneruskan sidang di mana kemudiannya Pajan Singh memerintah supaya pihak hadir pada jam 3 petang ini untuk mengemukakan hujah mereka.

Apabila mahkamah bersidang jam 3 petang ini, para hakim berkata, mereka tidak boleh mendengar permohonan lisan dan mengarahkan peguam Anwar dan Sukma mengemukakan permohonan rasmi di Mahkamah Rayuan.

Sebaik sahaja, para hakim membuat keputusan itu, Anwar bingkas bangun lalu menyatakan tidak puashatinya dengan keputusan itu yang didakwanya sebagai tidak adil.

Para penyokongnya pula bertindak "mengeboo" hakim-hakim yang berjalan keluar dari bilik mahkamah.