Umno dan PAS masing-masing mendakwa penubuhan Kelab PAS di United Kingdom dan Ireland menunjukkan sokongan terhadap kedua parti politik Melayu itu semakin meningkat di kalangan pelajar di luar negara.

Naib Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan PAS untuk menubuhkan kelabnya di United Kingdom ialah kerana parti itu kini tergugat kerana pelajar sekarang lebih cenderung kepada kerajaan.

"(Sokongan kepada kerajaan) ini adalah hasil usaha yang kita lakukan dengan memberi penerangan kepada pelajar dan membetulkan dakyah serta putar belit PAS. Sebab itu PAS nak tubuhkan kelab mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kuala Kedah.

Dewan Pemuda PAS Pusat pula mendakwa bahawa golongan bijak pandai sudah muak dengan dasar dan telatah Umno yang sering mengabui mata rakyat.

Setiausaha Politik Ketua Dewan Pemuda PAS, Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob menyifatkan tindakan sekumpulan rakyat Malaysia di UK dan Ireland menubuhkan Kelab PAS sebagai satu manifestasi daripada tindakan Umno itu.

"Rakyat Malaysia terutamanya yang berada di UK dan Ireland adalah mereka yang berpendidikan dan boleh berfikir dengan matang akan tindakan dan keputusan mereka untuk menubuhkan Kelab PAS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kebebasan

Dua hari lalu, Pemangku Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Kelab PAS akan ditubuhkan di UK untuk meluaskan pengaruh parti itu di kalangan rakyat Malaysia di luar negara.

Sehubungan itu, Bernama melaporkan Muhyiddin sebagai berkata, pelajar yang ingin menyertai Kelab PAS itu harus sedia menerima risiko sekiranya kerajaan menarik balik penajaan atau biasiswa yang diberikan.

"Itu adalah hak kerajaan. PAS tidak boleh desak kita," katanya.

Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, berkata pelajar yang menyokong Umno, turut menyokong kerajaan tetapi mereka yang menyokong PAS menentang kerajaan dan tidak menerima dasar-dasar kerajaan.

"(Pemberian) biasiswa salah satu daripadanya (dasar kerajaan) dan kalau ditarik balik, kena tanggung risiko itu.

"Itu hak mereka (PAS). Cuma kita harap penubuhan kelab itu tidak akan mencetuskan masalah di kalangan pelajar sehingga menjejaskan pelajaran masing-masing," katanya.

Terdesak

Sementara itu, Harakah o­nline melaporkan Raja Ahmad Iskandar sebagai berkata, sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, Umno tidak berhak menghalang rakyat Malaysia daripada menyertai dan mengamalkan hak demokrasinya.

Malah, tambah beliau, kenyataan Setiausaha Parlimen Jabatan Perdana Menteri, Dato' Noh Omar tidak lama dahulu yang mencabar PAS untuk menubuhkan Kelab PAS di UK dan Ireland perlulah dipandang positif oleh semua pihak.

"Sekiranya pemimpin Umno menggugut untuk menarik semula pinjaman biasiswa mereka yang menyokong atau menghadiri apa-apa program berunsur politik atas dasar 'akujanji' dalam kontrak, tindakan yang sama juga mestilah diambil kepada mereka yang mengangotai Kelab Umno kerana ianya jelas kelab yang mewakili dan berasaskan politik," tegasnya.

Raja Ahmad Iskandar juga menyifat kenyataan naib presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib baru-baru ini bahawa kewujudan Kelab Umno bertujuan menjaga kebajikan pelajar, "seolah-olah menunjukkan kelemahan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dan Kedutaan Malaysia yang gagal menjaga kebajikan pelajar negara terbabit".

"Ini adalah politik sempit dan terdesak Umno yang sudah hilang sokongan dari rakyat Malaysia, oleh yang demikian langkah terakhir mereka ialah dengan mengumpan pelajar untuk bersama mereka di atas nama kebajikan," katanya.