Kelantan diminta kawal penerokaan hutan
Kerajaan Kelantan perlu mengawal aktiviti penerokaan hutan kerana bimbang sumber air bukit yang kini dinikmati sebahagian besar penduduk di pedalaman terjejas dan menyukarkan kehidupan mereka, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau berkata penduduk di pedalaman itu banyak membuat aduan bekalan air bukit atau air tandak itu kini sudah terjejas seperti semakin kekurangan air dan kualiti airnya yang rendah.
"Kerajaan Kelantan perlu berhati-hati dalam setiap aktiviti penerokaan seperti penebangan hutan kerana kesannya akan merosakkan sistem pengaliran air bukit ke kampung-kampung.
"Kini keadaan sudah mula dirasai terutama penduduk di Jeli dan kita bimbang ia bukan sahaja menyukarkan kehidupan penduduk tetapi juga penyakit yang datangnya daripada air tercemar itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Anak Benih (Tanaman Tutup Bumi) Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kelantan di Kampung Bendang Keladi di Jeli, hari ini.
Turut hadir Pengarah JAS Kelantan, Khairuddin Mohd Idris.
Mustapa, yang juga anggota parlimen Jeli, berkata kadar penyakit bawaan air seperti cirit-birit dan taun di Kelantan kini antara yang tertinggi di negara ini dan menuntut agar kerajaan negeri menangani segera keadaan itu.
"Sedihnya Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) turut gagal memberikan perkhidmatan air bersih kepada penduduk di situ yang mahu tidak mahu terpaksa bergantung hidup kepada air bukit itu," katanya.
Beliau berkata kegagalan AKSB itu membuktikan kegagalan ketara kerajaan Kelantan pimpinan PAS untuk memberikan perkhidmatan asas yang sempurna kepada rakyat meskipun sudah memerintah lebih 20 tahun.
Dalam perkembangan lain, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan yakin kemenangan BN di Galas itu bakal menyuntik semangat bagi memastikan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN ) Tenang nanti kekal milik BN.
"Mungkin modul di Galas tidak sesuai untuk di Tenang tetapi Umno Kelantan yakin kemenangan Galas sebenarnya penyuntik semangat kepada anggota Umno dan BN untuk terus bekerja kuat," katanya.
Pilihan raya kecil Tenang, Johor yang kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember, ditetapkan pada 30 Januari.
--Bernama

