Habeas corpus Tharmendran ditunda ke 17 Jan
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menunda permohonan habeas corpus sarjan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), N Tharmendran kepada 17 Januari ini. Ia berikutan afidavit ketiga difailkan oleh responden daalam permohonan mereka.
Peguam Tharmendran, Amer Hamzah Arshad (
kiri
) berkata pihaknya bersetuju dengan penundaan itu kerana mereka memerlukan masa bagi menjawap afidavit berkenaan yang difailkan pada Khamis lalu.
"Ini adalah afidavit minit terakhir. Pada mulanya ada dua tetapi kami telah menjawapnya... Kami bersedia untuk meneruskan perbicaraan,” katanya.
Amer Hamzah ketika ditemui berkata, mahkamah memberi masa kepada pihaknya untuk membalas afidavit tambahan yang dikemukakan pihak responden pertama iaitu Lt Kol Mohd Razif Ramli, Khamis lalu.
Timbalan Pendaftar, Rusita Md Lazim, menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak yang terbabit iaitu peguam N Surendran dan Amer Hamzah yang mewakili Tharmendran serta Peguam Kanan Persekutuan, Mohamad Tarmizi Ahmad dan Asyraf Ashyri yang mewakili semua responden.
Tidak sah
Tharmendran memfailkan permohonan habeas corpus pada 26 November lalu, dengan menamakan Mohd Razif selain Komandan Pusat Tahanan Kem Batu Kentonmen serta Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud dan Menteri Pertahanan sebagai responden.
Dalam afidavit sokongannya, Tharmendran mendakwa penahanan dan penangkapannya pada 25 Nov lalu adalah tidak berasas, salah dan tidak sah mengikut undang-undang dan bersifat jahat.
Tharmendran, 42, mendakwa penahanan itu tidak mengikut undang-undang kerana dia adalah orang awam dan tidak lagi berkhidmat dengan TUDM sejak 28 Mei lalu.
Dia juga mendakwa keempat-empat responden itu bertindak di luar bidang kuasa yang melakukan tangkapan dan tahanan secara tidak sah.
Pada 25 November lalu, Tharmendran ditahan semula oleh TUDM di perkarangan tempat letak kereta Kompleks Mahkamah Shah Alam kerana kesalahan meninggalkan tugas.
Penahanan itu dilakukan lima pegawai Jabatanarah Provos Marsyal TUDM selepas Tharmendran menghadiri pendengaran permohonannya untuk menggugurkan pertuduhan terhadapnya di mahkamah itu.
Pada 6 Januari tahun lalu, Tharmendran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya terhadap pertuduhan bersubahat mencuri dua enjin pesawat F5 milik TUDM.
Dia didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop untuk mencuri dua enjin itu di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi.

