Berdasarkan laporan akaun pengurusan yang berakhir pada 31 Dis 1995 dan analisa pada tahun berakhir 31 Dis 2002, kumpulan Perwaja menanggung beban tanggungan sebanyak RM6,939 juta (1995) dan RM8,459 juta (2002). Kumpulan itu juga mengalami kekurangan modal sebanyak RM1,823 juta (1995) dan RM6,413 juta (2002).

Ini merupakan sebahagian daripada butiran terperinci yang terkandung dalam buku bertajuk "Mahathir & Skandal Perwaja" tulisan Badaruddin Ismail atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Din.

Badaruddin merupakan seorang aktivis hak asasi manusia bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram). Beliau pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada bulan April 2001.

Turut ditahan bersama beliau ketika itu Tian Chua, Mohd Ezam Mohd Nor, Saari Sungib, Dr Badrul Amin Bahron, Hishamuddin Rais, N Gobalakrishnan, Abdul Ghani Haroon dan Raja Petra Raja Kamaruddin. Beliau kini berumur 58 tahun.

Buku setebal 100 muka surat ini penuh dengan butiran terperinci menyentuh perbelanjaan, pemberian tender oleh peneraju Perwaja ketika itu, Tan Sri Eric Chia yang didakwa tidak mengikut peraturan, sehingga mendorong Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, membuat laporan polis pada tahun 1999.

Bagaimanapun, sepertimana yang diketahui umum, siasatan terhadap kes Perwaja ini hingga sekarang belum selesai selepas kerajaan mendakwa gagal mendapatkan kerjasama pihak-pihak di luar negeri untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Maklumat terperinci

Melalui buku ini, pembaca dapat mengetahui butiran terperinci mengenai;bagaimana Perwaja ditadbirkan ketika itu sehingga syarikat ini mengalami kerugian berbilion ringgit dan operasinya terpaksa di berhentikan.

Penyelewengan itu dikesan oleh firma juruaudit Price Waterhouse dalam laporan awalnya mengenai status kumpulan Perwaja di sekitar bulan Jun 1996. Firma juruaudit itu dilantik oleh Kementerian Kewangan pada awal 1996 selepas mendapati Perwaja berada dalam keadaan nazak dan memerlukan suntikan modal besar dari kerajaan.

Kementerian berkenaan terpaksa bertindak demikian kerana percubaan bagi mendapat maklumat terperinci dari pihak pengurusan Perwaja ketika itu, khususnya daripada pengarah urusannya Eric Chia, tidak berhasil.

Beliau sebaliknya berulang kali menyatakan bahawa tindakannya adalah dengan restu dan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, berdasarkan surat kelulusan projek dan kontrak yang ditandatangani oleh beliau (Mahathir).

Buku ini juga mengandungi butir-butir laporan polis yang dibuat oleh Anwar yang menyebut, masalah Perwaja itu, antaranya berpunca daripada kos pengeluaran melebihi harga pasaran dan beban hutang yang tinggi.

Punca lain ialah tukaran nilai wang asing, tiada belanjawan kewangan bagi mengawasi prestasi dan pengurusan modal kerja, tidak terdapat bukti pengawasan kos pengeluaran, tidak terdapat tender kontrak dan perolehan.

Surat Dr Mahathir

Berikutan itu, semakan firma juruaudit Price Waterhouse mendapati, berdasarkan akaun pengurusan pada 31 Disember 1995, Perwaja menanggung beban tanggungan semasa bersih sebanyak RM926 juta serta tanggungan jangka panjang (RM6,013 juta) dan defisit dana pemegang saham (RM1,884 juta).

Perwaja juga telah kehabisan kemudahan modal kerja manakala tanggungan semasa dan jangka panjang pada 31 Dis 1995 berjumlah RM6,939 juta.

Manakala pendedahan kewangan Kementerian Kewangan dalam Perwaja pada 31 Mac 1996 ialah RM5,517 juta, iaitu sumbangan tunai RM2,388 juta, jaminan pinjaman untuk Perwaja Terengganu dan Perwaja Rolling Mill (Gurun) sebanyak RM3,129 juta.

Dalam keadaan tersebut, keperluan suntikan modal bagi Perwaja bagi 1996-2000 ialah RM5,304 juta. Jumlah kerugian Perwaja pada 31 Dis 1995 ialah RM2,985 juta.

Ahli lembaga pengarahnya juga tidak berperanan menilai dan meluluskan perbelanjaan dan urusan tender, melainkan bagi tujuan mengesahkan beberapa keputusan kemudiannya. Manakala beberapa kontrak tidak dikemukakan kepada lembaga pengarah untuk kelulusan atau pengesahan.

Buku tulisan Pak Din juga mengandungi butiran mengenai pecahan tender dan kontrak yang ditawarkan kepada beberapa syarikat yang menimbulkan keraguan. Selain ini, dimuatkan juga dalam buku ini surat-surat penting, termasuk salinan surat Dr Mahathir kepada Eric Chia.

Untuk pertanyaan, komen atau kritikan, penulis boleh dihubungi pada alamat e-mel perwaja2003@yahoo.com