Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
9,000 calon PLKN ingkar jalani latihan
Diterbitkan:  Jan 7, 2011 6:01 PM
Dikemaskini: 10:05 AM

Kira-kira 9,000 calon yang gagal menghadiri Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sejak ia dilaksana pada 2003 bakal menghadapi kemungkinan dikenakan hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) sehingga 240 jam.

national service weapon training 220905 trainees Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Abdul Latiff Ahmad, berkata pelaksanaan hukuman itu, tahun ini selaras dengan pindaan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 yang mula dikuatkuasa November 2009.

"Kita dah ubah akta, mereka ini tak didenda lagi tapi mereka dikenakan hukuman khidmat masyarakat," katanya selepas lawatan kerja ke Kem PLKN Princess Haliza di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Sebelum pindaan itu, calon yang ingkar mengikuti kursus itu boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Abdul Latiff berkata, senarai calon yang ingkar itu sudah diserah kepada polis untuk disiasat dan dibawa ke mahkamah, dan hukuman itu akan dikenakan sekiranya mereka didapati bersalah.

national service weapon training 220905 interviewees Beliau berkata, mereka juga masih diwajibkan untuk menghadiri program itu selepas menjalani hukuman.

Dalam perkembangan lain, Abdul Latiff berkata, kajian keberkesanan PLKN yang membabitkan 62,000 responden telah dibentang kepada jemaah menteri dan mereka berpuas hati dengan hasil kajian itu.

"Respon yang diterima amat positif di samping banyak cadangan penambahbaikan dan kita mungkin akan menerbitkan hasil kajian itu untuk makluman orang ramai," katanya.

 - Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS