NGO desak k'jaan jangan tarik balik Interlok
Kementerian Pelajaran hari ini diminta tidak tunduk kepada sebarang tuntutan menarik balik novel Interlok sebagai teks wajib Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu bagi pelajar Tingkatan Lima.
Permintaan itu dibuat Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) dan 12 badan bukan kerajaan (NGO) lain dalam memorandum yang diserahkan kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Memorandum itu diserahkan Presiden Pena Mohamad Saleeh Rahamad kepada Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Dr Khair Mohamad Yusof kira-kira pukul 3 petang di Kementerian Pelajaran, di Putrajaya.
Memorandum yang sama kemudian turut diserah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di pejabatnya.
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibubapa dan Guru Nasional Mohamad Ali Hasan berkata novel itu perlu dikekal dan isu pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan.
Novel
Interlok
terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menjadi kontroversi kerana didakwa mengandungi unsur sensitif yang menyinggung perasaan kaum India pada kandungan muka surat 211 dan 220.
Mohamad Ali berharap Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam perkara ini dan tidak akan menarik balik novel itu.
Mohamad Saleeh pula berkata pemilihan novel itu tidak harus dipertikai kerana penilaian telah dibuat secara saksama dari semua sudut dan tidak timbul isu penghinaan kaum dan sebagainya.
Bagaimanapun, katanya apabila timbul isu itu daripada sudut politik, ia boleh dianggap sebagai ugutan dan provokasi terhadap dasar pemilihan yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.
Beliau turut menjelaskan karya tulisan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain, 91, itu tidak mempunyai unsur penghinaan sama sekali dan novel itu memberi gambaran sosial yang sebenar.
- Bernama

