Kes Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan, Zamri Ibrahim, yang dilaporkan ditumbuk penyokong Umno pada 9 April lalu, selesai apabila kedua-dua belah pihak menarik balik laporan polis masing-masing.

Zamri dan Ketua Umno Bahagian Kota Baharu, Zaid Ibrahim memasuki perkarangan Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Baharu hari ini, dengan diiringi Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Wan Mohamed Noor Wan Ibrahim.

Menurut Bernama , mereka kemudiannya mengumumkan telah menarik balik laporan polis masing-masing yang dibuat pada 9 dan 10 April lalu, lalu berjabat tangan sebagai tanda kes sudah selesai.

Zaid yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan ketika ditemui selepas itu berkata mereka bersetuju menyelesaikan kes secara baik kerana berpendapat ianya tidak memberi sebarang manfaat, sebaliknya hanya mengeruhkan keadaan.

"Umno merasakan ia perlu diselesaikan secara adik-beradik dan apa yang berlaku (kes tumbuk) adalah sesuatu yang luar biasa dan di luar kawalan," katanya.

Pembangkang

Dalam kejadian 9 April itu, Zamri ditumbuk seorang lelaki yang dikatakan penyokong Umno dalam satu majlis di sebuah restoran berhampiran ibu pejabat bomba di Kota Bharu.

Sekumpulan penyokong Umno cawangan menghadiri majlis itu untuk menyerahkan memorandum kepada Zaid kerana tidak puas hati dengan beberapa tindakan Zamri yang dikatakan cenderung kepada parti pembangkang.

Zamri cedera dimuka dan membuat laporan polis selepas kejadian itu manakala Zaid yang menjadi tetamu khas di majlis berkenaan, turut membuat laporan polis pada hari berikutnya.

Zaid bagaimanapun berkata Umno tetap berpendirian bahawa semua pegawai kerajaan mesti menyokong kepimpinan kerajaan dan tidak wajar menyokong parti pembangkang.

"Apa sahaja perkara yang menjejas parti dan negara, Umno akan menentangnya dan ingin saya jelaskan imej saya dan Umno tidak terjejas sama sekali," katanya.

Pengajaran

Beliau juga kesal kerana isu itu telah dipolitikkan oleh PAS melalui artikel terbaru akhbar Harakah yang mendakwa Umno telah bertindak seperti samseng dalam kejadian itu.

Sementara itu, Wan Mohamed Noor menasihatkan semua kakitangan dan pegawai jabatan bomba supaya menyokong kepimpinan negara dan peristiwa itu perlu menjadi pengajaran kepada semua pihak.

"Harap tidak lagi berlaku pada masa depan dan semua kakitangan dan pegawai bomba harus sedar peranan mereka kepada negara," katanya.

Menurut Wan Mohamed Noor, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai jabatan itu bagi menjelaskan perkara tersebut. Zamri ketika ditemui enggan mengulas.