BERITA

Sheikh Muszaphar akan dilantik Kolonel RELA

Diterbitkan
Dikemaskini 22 Jan 2011, 7:41 pagi

Ikatan Relawan Rakyat (RELA) meletakkan sasaran lebih ramai golongan kenamaan menyertai organisasi terbabit sebagai Ahli Kehormat dalam usaha memantapkan organisasi sukarela itu.

NONE Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam, berkata ia termasuklah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), wakil badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta ketua-ketua jabatan kerajaan.

"Dengan adanya Ahli-ahli Kehormat ini, mereka dapat memberikan idea dan inisiatif untuk memperbaiki dan memantapkan Rela, serta dapat mempengaruhi lebih ramai orang untuk menyertai kumpulan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Ahli-ahli Kehormat Rela Seluruh Malaysia di Putrajaya hari ini.

Mahmood berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 800 Ahli Kehormat RELA dari seluruh negara, yang terdiri daripada wakil rakyat dan pegawai kerajaan peringkat daerah.

malaysia astronaut dr sheikh muszaphar shukor Beliau berkata, salah seorang kenamaan yang sudah bersetuju untuk menyertai RELA sebagai Ahli Kehormat adalah Angkasawan Negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, yang akan diberikan pangkat tidak rendah daripada Kolonel sesuai dengan kelayakannya.

"Kita boleh gunakan beliau untuk memberi motivasi kepada anggota RELA yang lain," katanya.

Bengkel yang pertama seumpamanya itu dihadiri lebih 120 Ahli Kehormat dengan bertujuan membincangkan peranan dah fungsi ahli-ahli terbabit dalam organisasi itu serta menggariskan prosedur operasi standard (SOP) untuk organisasi yang mempunyai keanggotaan seramai hampir 3 juta sukarela itu.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.