Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

NONE Seramai kira-kira 500 berkumpul di Dataran Shah Alam di bawah pengawasan ketat polis sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bersidang untuk membahaskan satu cadangan pindaan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri.

Cadangan pindaan berkenaan adalah bagi mengembalikan kuasa melantik pegawai tinggi negeri kepada sultan dan kerajaan negeri.

Sebahagian peserta berkenaan memakai ikat kepala bertulis GAPS (Gagasan Anti Penyelewengan Selangor) dan mula berkumpul mulai kira-kira jam 9.30 pagi.

Kumpulan itu juga antaranya disertai penyokong Umno dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA).

Kumpulan berkenaan yang diketuai ketua bahagian Umno Shah Alam, Datuk Ahmad Nawawi berhimpun sejak jam 9.30 pagi ini di Dataran Shah Alam sebelum berarak ke bangunan SUK.

Jumlah perserta demonstrasi itu kemudiannya meningkat kepada sekurang-kurangnya 500 orang apabila mereka mula berarak ke bangunan SUK yang menempatkan DUN Selangor pada jam 10.15 pagi.

Sewaktu berarak sejauh kira-kira 500 meter itu, mereka turut melaungkan 'undur PR', 'tangkap Anwar', 'daulat tuanku', dan juga bertakbir.

Kumpulan berkenaan turut membawa sepanduk yang antara lainnya bertulis 'Daulat Tuanku', dan "Khalid gagap perampas kuasa raja Melayu".

Kumpulan berkenaan kemudiannya dihalang oleh sepasukan polis di jalan menuju ke bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, lima orang wakil dibenarkan untuk melepasi halangan itu bagi menghantar satu memorandum.

Memorandum berkenaan kemudannya diterima oleh seorang wakil rakyat BN di pintu pagar SUK.

Memorandum berkenaan antara lainnya mendakwa, menteri besar cuba menipu Sultan Selangor dan rakyat negeri itu dengan mengemukakan pindaan undang-undang berkenaan.

Ia mempertikaikan satu pindaan dalam undang-undang berkenaan yang menyebut "Duli yang maha mulia hendaklah mempertimbangkan nasihat menteri besar."

"Ia bermaksud, DYMM sultan 'hendaklah' merujuk kepada MB dalam soal pelantikan SUK.

"'Hendaklah' dalam bahasa Inggeri disebut 'shall' yang bermaksud ianya adalah 'wajib' untuk DYMM sultan mengikut kehendak MB dalam melantik SUK.

"(Bermakna), MB berkuasa penuh untuk menentukan pelantikan SUK dan bukan DYMM sultan," menurut memorandum itu lagi yang dibacakan Ahmad Nawawi.

Katanya lagi, langkah itu berbeza dengan kaedah yang diamalkan sekarang, di mana menteri besar tidak mempunyai kuasa pemutus dalam pelantikan SUK.

"Jadi di manakah yang disebut-sebut oleh menteri besar yang dia hendak mengembalikan kuasa sultan?

"MB juga sebenarnya telah merampas dan mencuri kuasa DYMM sultan. MB terus memperkasakan kuasanya sendiri untuk mencengkam kuasa DYMM sultan dalam isu ini," menurut memorandum itu lagi.

Kumpulan berkenaan kemudiannya bersurai sekitar jam 10.45 pagi.

VIDEO | 9.45 min

ADS