Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Menteri penerangan Datuk Seri Rais Yatim berkata pelantikan Utusan Melayu (M) Bhd sebagai ejen pemasaran masa siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM) bukanlah dibuat atas kepentingan perniagaan semata-mata.

Sebaliknya, ia dibuat berdasarkan "kepentingan kenegaraan" berhubung persuratkhabaran dan berita, katanya.

NONE "Ia tidak seharusnya ditanggap mengikut wang ringgit sahaja," katanya lagi ketika menyampaikan ucapan aluan di majlis menandatangani kontrak baharu itu.

Jelasnya, ia turut mengambil kira peranan syarikat itu yang terkehadapan dalam menjelaskan isu-isu berhubung "soal kontrak sosial."

Selain itu, syarikat itu juga berperanan dalam menjelaskan isu berhubung kedudukan bahasa Melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia dan juga kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera dalam Perkara 153 dokumen berkenaan, katanya.

"Dalam berhujah supaya perkara itu difahami, Utusan tampil dari sudut praktikaliti dan kenyataannya," katanya lagi.

Tambahnya, beliau mengambil maklum saranan yang dikemukakan oleh Ketua Audit Negara berhubung pelantikan syarikat berkenaan.

Pencapaian memuaskan

Namun, laporan berkenaan tidak menyatakan menyatakan kejayaan yang telah dicapai melalui pelantikan syarikat tersebut sebelum ini, katanya.

nuj utusan melayu picket  police 160904  security Bercakap dalam sidang media selepas itu, Rais juga berkata rundingan berkenaan dibuat setelah RTM melihat prospek yang boleh dicapai melalui pelantikan itu.

"Jadi rekod yang dicapai oleh Utusan dari 2006 hingga 2009 untuk radio adalah memuaskan dan daripada 2007 hingga 2009 untuk televisyen telah sampai RM75 juta," katanya lagi.

Laporan Ketua Audit Negara tahun 2009 itu antara lainnya mendapati pengurusan aktiviti penjualan masa siaran iklan melalui radio dan TV serta kawalan hasil itu secara umumnya kurang memuaskan.

Laporan audit yang dijalankan bagi tempoh antara Julai hingga Disember 2009 itu turut mendapati beberapa kelemahan seperti prestasi jualan masa siaran iklan yang tidak mencapai sasaran melalui pelantikan syarikat tersebut.

Laporan berkenaan turut mendapati berlaku percanggahan terma antara perjanjian kontrak dengan surat tawaran kerajaan mengenai jadual bayaran komisen dan aktiviti penjualan masa siaran iklan yang tidak mengikut peraturan.

ADS