Keadaan banjir di Melaka, Negeri Sembilan dan Pahang hampir pulih sepenuhnya dengan jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan kekal dan hanya beberapa pusat pemindahan masih lagi dibuka.

Di Melaka, jumlah mangsa banjir yang berada di dua pusat pemindahan di daerah Jasin, pagi ini kekal 446 orang sepertimana semalam.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri Melaka berkata keadaan itu berikutan limpahan air dari Sungai Kesang, yang terletak bersempadan dengan Johor.

Walaupun cuaca cerah dan tiada hujan, pengaliran air dari kawasan  hulu menyebabkan air Sungai Kesang melimpah terutama ke kawasan rendah, katanya ketika dihubungi di Melaka.

Di Negeri Sembilan, hanya satu pusat pemindahan iaitu di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Gemas yang masih lagi dibuka di negeri ini.

Jurucakap bilik gerakan banjir negeri berkata setakat pukul 9 pagi ini, terdapat 498 orang mangsa daripada 133 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan berkenaan.

Keadaan banjir di PAHANG pula semakin pulih dengan hanya melibatkan daerah Rompin yang masih menempatkan mangsa banjir seramai 53 orang daripada 11 keluarga.

Jurucakap Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, hanya dua pusat pemindahan yang masih dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Denai dan Balairaya Kampung Lubuk Batu.

Sementara itu, daerah Temerloh telah pulih daripada bencana itu selepas kesemua 417 mangsa banjir telah dibenarkan pulang.

- Bernama