BERITA Malaysiakini

MB arah Khusrin jaga hartanah Selangor

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengadakan pertemuan sulung dengan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri yang baru Datuk Khusrin Munawi di pejabatnya di Shah Alam pada jam 5 petang tadi.

Bagaimanapun, menurut kenyataan daripada Pejabat Menteri Besar sebentar tadi, kerajaan negeri masih berpendirian bahawa Sultan Selangor dan menteri besar seharusnya berperanan dalam pelantikan SUK.

NONE "...pertemuan ini diadakan demi memastikan keperluan rakyat Selangor diutamakan dan pentadbiran negeri terus berjalan dengan lancar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, dalam pertemuan tersebut, Khalid juga mengarahkan Khusrin memberi keutamaan kepada hartanah milik kerajaan Selangor.

"Seterusnya, menteri besar mengarahkan Khusrin menyediakan laporan dari semasa ke semasa kepada kerajaan negeri mengenai maklumat terkini hartanah milik kerajaan Selangor, demi mengenal pasti nilai tanah yang terbiar dan bermasalah," kata kenyataan itu.

Arahan lain Khalid kepada Khusrin:

  • Menteri besar memberitahu Khusrin bahawa beliau perlu bekerjasama dengan pegawai daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan hartanah milikan Kerajaan Selangor ini dijaga dengan baik.
  • Khalid menyarankan supaya Khusrin mengadakan perjumpaan atau dialog dengan penduduk setinggan yang mendiami tanah milik kerajaan Selangor dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik.
  • Khusrin diminta meneruskan usaha-usaha Selangor menangani masalah kecurian pasir yang boleh menggangu pendapatan kerajaan negeri.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut langsung sama ada Khalid membenarkan Khusrin mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapannya bagi membolehkan SUK yang dilantik secara kontroversi itu menghadiri meyuarat exco dan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

TERDAHULU Jumpa MB Selangor: Khusrin bungkam