Walaupun menghadapi tentangan pelbagai pihak, difahamkan kerajaan Selangor akan tetap meneruskan bantuan perundangan kepada ADUN Sri Muda Shuhaimi Shafiei yang didakwa mempersoal kuasa Sultan.

"Biarlah bantahan itu. Beliau tertindas dan beliau wakil (rakyat) kita," kata sumber-sumber kerajaan negeri.

NONE Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan, pemilihan pasukan peguam untuk tujuan itu masih belum diputuskan dan mungkin diumumkan selepas dibincang dan diluluskan dalam mesyuarat exco pagi esok.

"Kita tahu, Shuhami sudah ada barisan peguamnya sendiri. Esok kita tengoklah sama ada exco lain setuju atau tidak.

"Oleh kerana kerajaan negeri menyokong, ia mestilah mendapat persetujuan exco," kata sumber itu lagi.

Selepas kerajaan negeri mengeluarkan kenyataan tidak akan membiarkan Shuhaimi berseorangan dan akan membantu membiayai kos perundangan untuk "menyokong usahanya menegakkan keadilan" pada 4 Februari lalu, pelbagai pihak tampil menentang hasrat itu.

tan keng liang Semalam Ketua Pemuda GERAKAN Kedah Tan Keng Liang ( kiri ) berkata, Selangor harus menarik balik hasrat menggunakan duit rakyat bagi tujuan itu supaya "amalan buruk" itu tidak mempengaruhi negeri Pakatan Rakyat lain.

Tan dilaporkan berkata, jika mahu, Pakatan sebaliknya boleh membiayai kos itu menggunakan duit dan sumber mereka sendiri.

Sehari sebelum itu, Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (Gaps) menjadi NGO pertama bangkit menyifatkan tindakan kerajaan Selangor itu sebagai "pembaziran dan penyelewengan wang rakyat".