Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BN Pahang kemuka 4 nama untuk Kerdau
Diterbitkan:  Feb 18, 2011 11:59 AM
Dikemaskini: 8:38 AM

BN Pahang telah mencadangkan  empat nama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dipilih sebagai calon dalam pilihan raya kecil DUN Kerdau.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob yang juga pengerusi BN Pahang, berkata kesemua mereka merupakan bakal calon yang boleh menang, bertepatan dengan kehendak perdana menteri sebelum ini.

    

"Memandangkan kerusi ini selama ini ditandingi Umno, keempat-empat nama itu adalah dari Umno," katanya selepas menghadiri majlis makan malam anjura sebuah syarikat di Kuantan malam tadi.

    

Ditanya sama ada faktor kesihatan diambil kira dalam pemilihan itu, Adnan berkata : "Kalau sihat tetapi orang tidak suka, kita tidak akan pilih, kita pilih calon yang disukai orang."

Adnan berkata BN akan menggunakan pendekatan yang disukai orang ramai bagi meraih sokongan pada pilihan raya kecil itu nanti.

    

"Penduduk Kerdau ini terdiri daripada orang yang matang dan tidak mudah diracuni fikiran," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelantikan Adnan sebagai pengarah pilihan raya kecil BN bagi DUN Kerdau.

   

"Saya yakin beliau berkemampuan dan banyak pengalaman," kata Muhyiddin Yassin kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat dan menghadiri jamuan tengah hari di Masjid Darul Solihin Kampung Bungey di Debak, Betong hari ini.

   

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan pelantikan itu yang berkuat kuasa serta-merta.

   

Kerusi Kerdau kosong berikutan kematian penyadangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim, 63, daripada barisan Nasional akibat serangan jantung pada 12 Februari lepas.

   

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual menetapkan tarikh pilihan raya kecil itu pada Ahad ini.

   

Dalam pilihan raya umum 2008, Zaharuddin menewaskan calon PAS Hassanuddin Salim dengan majoriti 1,615 undi.

- Bernama

ADS