BERITA

Melaka dapat 'Eye on Malaysia' lebih besar

Elissa Helmy

Diterbitkan
Dikemaskini 21 Feb 2011, 2:48 pagi

Melaka akan membina sebuah buaian roda gergasi atau "Eye on Malaysia" yang baru dalam tempoh lapan bulan lagi sebagai mengantikan produk pelancongan sebelumnya yang terletak bersebelahan tapak projek Marina, di muara Sungai Melaka.

NONE Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam ( kanan ) berkata, projek berkenaan dijangka terlaksana dalam tempoh lapan bulan lagi dengan memilih satu lokasi baru yang terletak di Pulau Melaka, Banda Hilir.

Katanya, buaian roda gergasi berkenaan akan dibina lebih besar lagi iaitu 88 meter berbanding yang didirikan sebelumnya, hanya mempunyai ketinggian 82 meter.

"Untuk projek ini, kita akan swastakan kepada sebuah syarikat, Wonderland Melaka dan mereka dah order lebih tinggi iaitu 88 meter sekaligus mengatasi yang sebelumnya 82 meter.

"Lokasi yang yang dipilih adalah di Pulau Melaka kerana lokasi lama tidak boleh berikutan termasuk dalam kawasan zon penampan Bandaraya Warisan Dunia," katanya sewaktu menyertai majlis beramah mesra dengan media di sebuah restoran ikan bakar di Umbai, Melaka.

NONE Mohd Ali berkata, nama baru yang dipilih adalah 'Malaysia Eye' hampir sama dengan nama sebelumnya 'Eye On Malaysia' sekaligus boleh dibandingkan dengan produk yang lebih kurang sama dengan London Eye di London.

Sebelum ini, tindakan kerajaan negeri Melaka membina Eye On Malaysia pada September 2008 dan kemudian dihentikan kira-kira dua tahun kemudian mendapat kritikan daripada pembangkang khususnya PAS yang kononnya ia adalah sebuah projek membazir.

Sambil menafikan sangkaan PAS itu, Mohd Ali menjelaskan ia adalah sebuah produk pelancongan yang begitu menguntungkan dan pernah mencatat pulangan sehingga RM100,000 sehari.

"Sebelum ini, pihak swasta terbabit meminjam wang daripada sebuah syarikat di Belgium, mereka tidak bayar jadi syarikat terbabit tariklah balik.

"Apa saya boleh buat tetapi kalau PAS hendak bayar, bayarkanlah. Jadi dia dah tarik balik kita buatlah sebuah lagi Eye On Malaysia yang baru, kita tiada masalah," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.