Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bersedia menghadapi kemungkinan banjir pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10, kata Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

NONE Beliau berkata, SPR akan menggunakan pengalaman mengendalikan pilihan raya dalam keadaan banjir seperti yang ditempuhinya semasa pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Johor, bulan lalu.

"Sudah pasti sebelum kami menetapkan tarikh pilihan raya, kami akan berhubung dengan Jabatan Meteorologi bagi mendapatkan laporan ramalan cuaca, kemungkinan berlakunya banjir dan sebagainya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan sesi taklimat kepada 24 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan 51 Penolong Pegawai Pengurus bagi kawasan Kalaka dan Balleh di Sibu.

Abdul Aziz berkata, SPR, yang meluluskan peruntukan sejumlah RM45 juta bagi mengadakan pilihan raya Sarawak kali ini, telah bersiap sedia dengan segala keperluan logistik bagi mengendalikan pilihan raya negeri.

"Kami akan menggunakan 24 helikopter, 4,124 kenderaan pacuan empat roda, 919 perahu panjang dan 63 bot laju berikutan negeri ini yang luas, kawasan penempatan yang berselerak dan rupa bumi tidak sekata,” katanya.

- Bernama