Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan jentera pilihan raya BN supaya tidak mengambil mudah pilihan raya kecil DUN Kerdau dan Merlimau, Melaka walaupun BN mampu meraih kemenangan dengan majoriti besar.

    

Timbalan perdana menteri berkata jentera pilihan raya parti perlu menganggap kedua-dua pilihan raya kecil itu sebagai satu cabaran dan jangan sesekali merendah-rendahkan keupayaan parti lawan.

    

"Harapan kepimpinan khasnya Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) kita memperoleh majoriti lebih besar, tetapi kita tidak mahu ambil mudah, kita anggap ini satu cabaran yang besar.

    

"Justeru kita akan bekerja bermatian-matian dengan bersungguh-sungguh supaya beroleh kejayaan yang kita harapkan," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon pilihan raya kecil DUN Kerdau di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh, di Temerloh hari ini.

    

Pilihan raya kecil DUN Kerdau bakal menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara BN dan PAS.

BN diwakili Naib Ketua Umno bahagian Kuala Krau, Syed Ibrahim Syed Ahmad, 44, manakala PAS diwakili Ketua Penerangan PAS Pahang, Hassanuddin Salim, 43.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau Melaka pula menyaksikan calon BN yang diwakili Anggota Jawatankuasa Umno bahagian Jasin Roslan Ahmad, 44, dicabar calon PAS iaitu timbalan ketua Pemuda PAS Melaka, Yuhaizad Abdullah, 38.

    

Pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu ditetapkan pada 6 Mac ini.

BN tak anggap pertandingan mudah

Muhyiddin berkata berdasarkan faktor kepimpinan perdana menteri yang melaksanakan pelbagai inisiatif dan transformasi besar, BN dijangka mendapat sokongan yang lebih padu daripada rakyat.

"Lebih-lebih lagi dengan senario ekonomi yang bertambah rancak di mana kegiatan ekonomi memberikan banyak peluang kepada rakyat.

    

"Ini satu faktor positif yang dapat membantu pemilih (pengundi) membuat keputusan yang tepat bagi memilih BN," kata Muhyiddin.

Mengulas mengenai calon BN bakal menang mudah pada kedua-dua pilihan raya kecil itu, Muhyiddin berkata BN tidak pernah menganggap ia satu pertandingan yang mudah.

"Saya tidak pernah dalam mana-mana pilihan raya kecil mengatakan ini mudah,  walaupun sentimen (rakyat terhadap BN) bertambah baik, majoriti meningkat (dalam pilihan raya kecil sebelum ini), dari segi strategi kita tidak pernah kata ini satu pertandingan yang mudah kerana kita tidak tahu hati nurani pengundi yang berada di bawah," katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang tidak yakin dengan kemenangan calon pembangkang, Muhyiddin berkata kenyataan itu tidak penting: "Apa yang penting, kita (jentera pilihan raya BN) mesti jalankan kerja untuk mendapatkan sokongan,".

Ditanya mengenai pihak pembangkang yang mempersoalkan latar belakang pendidikan calon BN di Kerdau, Muhyiddin berkata PAS sebenarnya tidak mempunyai isu besar pada pilihan raya kecil kali ini.

"PAS tidak ada modal lain, tidak ada isu besar, jadi (mereka) sasarkan calon," katanya.

- Bernama