Wee: Dakwaan tiru buku jingga mengarut
Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong menyifatkan dakwaan PAS bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) meniru 'Buku
Jingga' pakatan pembangkang menerusi pemberian ganjaran kepada warga pendidik dan kumpulan sokongan sebagai mengarut.
Sebaliknya kata beliau, ganjaran itu adalah sebagai memenuhi janji yang pernah dibuat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran.
"Ini adalah seperti janji yang telah kita lakukan setahun lepas dan ganjaran ini diperkenalkan menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA),"
katanya ketika dihubungi Bernama.
Semalam, Muhyiddin mengumumkan ganjaran berjumlah RM18.4 juta kepada 586 guru besar dan guru serta kumpulan sokongan di sekolah yang berkenaan di atas kejayaan membangunkan kualiti murid.
Hari ini, Ketua Penerangan PAS Pusat Idris Ahmad pada satu sidang media di bilik gerakan PAS bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau mendakwa kerajaan BN cuba meniru 'Buku Jingga' pakatan menerusi ganjaran itu.
Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad turut membuat dakwaan yang sama.
Beliau juga mendakwa ganjaran tersebut bertujuan menarik sokongan warga pendidik khususnya pada pilihan raya kecil DUN Merlimau dan pilihan raya umum akan datang.
Mengulas lanjut, Wee berkata tindakan PAS itu jelas menunjukkan parti tersebut sudah ketandusan idea.
"Mereka perlu menilai rasional sebelum membuat dakwaan semberono ini," kata Wee.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau akan diadakan pada Ahad ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Roslan Ahmad, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38, berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.
Mengenai pilihan raya kecil tersebut, Wee yang juga Ketua Pemuda MCA berkata proses bertemu para pengundi bagi masyarakat Cina di DUN itu berjalan lancar dan fokus Pemuda ialah menarik golongan muda masyarakat itu memberi undi kepada BN.
- Bernama

