Kekacauan berterusan di negara-negara di Asia barat boleh menyebabkan kesukaran kepada Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan Timur Tengah untuk melabur di dalam projek Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata seorang pakar ekonomi.
Sungguh pun begitu, Pakar Kanan Ekonomi AmResearch Manokaran Mottain berkata kesannya dijangka hanya sementara berikutan kemungkinan krisis di Timur Tengah diselesaikan tidak lama lagi.
"Andaian bahawa ketidakstabilan politik di Timur Tengah akan melimpah ke negara lain, terutama sekali ke Arab Saudi, kemungkinan ia tidak berlaku."
"Pendirian kerajaan mendapatkan sumber dana dari Timur Tengah untuk membiayai ETP kemungkinan juga memakan diri, khususnya bagi projek Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur bernilai RM26 bilion."
"Harga bahan binaan lebih tinggi turut menaikkan kos sesetengah projek yang dijangka dilaksanakan di bawah ETP, yang berpotensi menyebabkannya terlewat," katanya kepada Bernama hari ini.
Manokaran berkata banyak negara kaya di Asia Barat mahu memegang sendiri dana bagi menangani keadaan kecemasan masing-masing yang masih tidak tentu mengenai bila pergolakan di rantau itu akan berakhir.
"Ini tidak dinafikan akan menyebabkan kesukaran kepada Malaysia bagi menarik lebih banyak pelabur Timur Tengah," katanya.
Mengenai kenaikan harga minyak, Manokaran berkata jika langkah-langkah untuk mengurangkan subsidi tidak diambil, kredibiliti fiskal kerajaan akan dipersoalkan bersama-sama peningkatan kos pinjaman.
"Walau pun pemotongan seterusnya subsidi akan membantu mencapai sasaran defisit fiskal 5.4 peratus pada tahun ini, kemungkinan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi oleh kerajaan akan dilakukan berikutan kemungkinan besar pilihanraya umum akan diadakan pertengahan tahun ini atau akhir 2011," katanya.
Bagaimanapun, bagi tempoh jangka panjang, beliau mempercayai bahawa harga bahan api akan mengalami pembetulan utama.
"Harga telah meningkat ke tahap yang semakin sukar dikekalkan di mana permintaan para pengguna gagal memadani jangkaan tinggi pasaran kewangan," katanya.
- Bernama
