Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Teoh tidak dicederakan, kata Dr Khairul
Diterbitkan:  Mar 2, 2011 8:25 PM
Dikemaskini: Mar 3, 2011 1:41 AM

Pakar Perunding Perubatan Jabatan forensik dari Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Khairul Azman Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Siasatan hari ini beliau tetap dengan pendiriannya bahawa keretakan pada tulang dada Teoh Beng Hock adalah disebabkan terjatuh dari tempat tinggi dan bukannya dicederakan.

    

Dr Khairul Azman berkata demikian selepas Christopher Leong dari Majlis Peguam mengemukakan teori bagaimana tulang dada setiausaha politik kepada Exco Selangor itu boleh mengalami keretakan.

    

Teori itu dikemukakan oleh Christopher berkemungkinan seseorang telah meletakkan buku telefon pada dada mangsa sebelum menumbuknya dan akan menyebabkan keretakan pada tulang dada tanpa meninggalkan kesan lebam.

    

Dr Khairul Azman sebelum ini memberitahu di dalam prosiding bahawa keretakan itu berlaku akibat mangsa telah mendarat dengan kakinya sebelum terjatuh dan kemungkinan ketika mendarat lutut mangsa terkena pada dada dan rahang yang menyebabkan keretakan pada tulang dadanya dan bukan disebabkan oleh kecederaan lain.

    

Selain itu, beliau turut memberitahu sekiranya Teoh ditolak dari tingkap ketika beliau tidak sedar diri kemungkinan mangsa akan jatuh dalam keadaan berbeza bukannya mendarat dengan kakinya.

Beliau berkata demikian ketika disoal Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sama ada terdapat perbezaan cara jejak di lantai dan keadaan mayat yang jatuh ketika sedar dan tidak sedar.

Dr Khairul Azman memberitahu sekiranya mangsa terjatuh dalam keadaan sedar, dia akan cuba mendarat dengan kakinya dan cuba menyelamatkan diri, sebaliknya jika mangsa terjatuh dalam keadaan tidak sedar anggota badan akan lebih longgar dan kemungkinan untuk tidak mendarat dengan kaki adalah tinggi.

    

"Ini membuktikan Teoh berada dalam keadaan sedar dan mendarat dengan kakinya setelah jatuh di koridor tingkat 5, bangunan Plaza Masalam, Shah Alam kerana kedua-dua kakinya patah," katanya.

    

Dr Khairul Azman, yang melakukan bedah siasat pertama ke atas Teoh, memberitahu di dalam prosiding berdasarkan bedah siasat yang dijalankan pada 17 Julai 2009 beliau menemui banyak kesan kecederaan di bahagian kaki mangsa.

Sementara itu, beliau turut memberitahu di dalam prosiding tiada sebarang penemuan yang membuktikan Teoh dicekik mahupun lehernya 'dikunci' dengan menggunakan siku (necklock).

    

"Ketika saya melakukan bedah siasat tiada sebarang kesan yang dijumpai berlakunya 'necklock' pada mangsa.

    

"Saya tidak nampak adanya bintik-bintik merah pada mata yang menunjukkan mangsa lemas dan tiada bukti untuk menyokong dakwaan tersebut,"katanya.

     

Beliau turut memberitahu tiada bukti kukuh yang menunjukkan Teoh dibunuh kerana beliau tidak menemui kesan pergelutan yang berlaku di tingkap di tingkat 14, Bangunan Plaza Masalam yang dipercayai tempat Teoh terjatuh.

    

"Walaupun saya telah membuat lawatan ke tempat kejadian sebanyak dua kali namun gagal menemui apa-apa kesan Teoh dibunuh (homisid)," katanya.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor selepas memberi keterangan di pejabat SPRM yang terletak di tingkat 14 bangunan itu.

    

Suruhanjaya itu dipengerusikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen dan dianggotai bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk T.S.Nathan dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik serta Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains

Perubatan Cyberjaya Profesor Dr Mohamed Hatta Shaharom dan Pakar Perunding Patologi Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh.

    

Suruhanjaya itu ditugaskan untuk menyiasat punca kematian Teoh selepas Mahkamah Koroner sebelum ini membuat 'keputusan terbuka'.

Prosiding bersambung esok.  

- Bernama

ADS