Seramai 21 orang termasuk lima wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menyertai sebuah pertubuhan haram, iaitu Hindraf.

    

Kesemua mereka berusia antara 18 dan 57 tahun itu ditahan pada 13 Februari lalu ketika menaiki 18 kenderaan secara konvoi di Brickfields bagi membantah penggunaan novel 'Interlok'.

    

Mengikut pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zulkipli Abdullah, mereka didakwa menyertai satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1996.

    

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara maksimun tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 2.30 petang di 'Little India', Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, pada 13 Februari lalu.

Tertuduh lelaki ialah K. Lingeswaran, K. Chandramohan, P. Sundaram, A. Harikrishnan, P.Maniam, K.V. Thandavuthabani, P. Kalaichelvan, M. Paramasivam, S. Mahendran, M. Sugumaran, V. Tamil Selvan, S. Thiagarajan, K. Balakrishnan, A. Nathan, S. Thinagarajan dan S. Manimaran.

    

Lima wanita yang didakwa ialah P. Lourdemary, S. Saraspaty, N. Kokilarani, R.Devika dan R. Gethaa.

    

Mahkamah membenarkan kesemua mereka diikat jamin RM2,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 6 April ini untuk sebutan kes.

    

Mereka diwakili peguam bela M. Raman manakala pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Haderiah Siri.

    

Dua hari lepas, seramai lima lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama di Mahkamah Majistret Selayang, kerana menyertai konvoi tersebut di Kilometer 13 di Bukit Kanching, Jalan Ipoh-Rawang, pada pukul 12.15 tengah hari, pada hari yang sama.

- Bernama