Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kempen Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, tidak selari dengan gagasan 1Malaysia.
Beliau berkata kerajaan sentiasa melibatkan semua kaum dalam apa juga projek dan program kerajaan.
"Kenapa pula tak selari? Hari ini pun yang datang ada kaum India, kaum Cina. Setiap kempen kita berdasarkan 1Malaysia, tak pernah kurang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program 1Komuniti 1Koperasi di Merlimau, Melaka.
Beliau mengulas dakwaan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam ceramahnya malam tadi bahawa kerajaan BN tidak mengaplikasikan semangat Gagasan 1Malaysia dalam berkempen.
Ismail Sabri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno berkata program kementerian seperti Transformasi Kedai Runcit (TUKAR) juga melibatkan penyertaan semua kaum.
"Di Merlimau dah ada satu kedai Melayu dan satu kedai India dalam program ini...lepas ni mungkin untuk Cina pula," katanya.
Menjelang pengundian pada Ahad ini, Ismail Sabri berkata beliau yakin BN mampu menang berdasarkan sambutan pengundi yang jelas menolak pembangkang dan menyokong calon BN, Roslan Ahmad.
Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan antara Roslan, 44, dan calon PAS Yuhaizad Abdullah, 38. Ia diadakan berikutan kematian Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 56, daripada BN pada 20 Januari lalu akibat serangan jantung.
- Bernama
