Muhyiddin harap pengundi tak lupa undi BN esok
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang melihat pengundi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kawasan Merlimau dan DUN Pahang kawasan Kerdau sudah bersedia untuk mengundi esok, berharap mereka tidak lupa mengundi calon BN.
Muhyiddin, yang juga timbalan pengerusi BN, berharap semua pengundi keluar mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan membawa kad pengenalan.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi khasnya di Merlimau dan di Kerdau yang saya lihat menyambut baik kempen yang digerakkan oleh pemimpin Barisan Nasional di peringkat akar umbi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra serta jamuan tengah hari bersama Pertubuhan Peladang dan Nelayan daerah Jasin, hari ini.
Muhyiddin berkata respons yang amat memberangsangkan itu menunjukkan pengundi sudah menerima baik semua penjelasan yang diberi dan mereka dapat melihat keupayaan kepimpinan BN.
"Satu keyakinan baru dapat kita rasakan, macam di sini (Merlimau) meriah dan saya lihat macam mereka sudah bersedia untuk mengundi, jadi satu petanda baik kepada Barisan Nasional," katanya.
Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan calon BN Roslan Ahmad ditentang calon PAS Yuhaizad Abdullah yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan pada 20 Jan lepas akibat serangan jantung.
Bagi pilihan raya Kecil DUN Kerdau pula, calon BN Syed Ibrahim Syed Ahmad dicabar calon PAS Hassanuddin Salim, yang diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Zaharuddin Abu Kassim pada 12 Feb lalu akibat serangan jantung.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, yang juga Pengarah Pilihan Raya BN DUN Merlimau, turut mengiringi lawatan Muhyiddin ke DUN Merlimau hari ini.
Ditanya tindakan terhadap pembangkang yang cuba menimbulkan provokasi untuk menggulingkan kerajaan seperti yang sedang berlaku di negara-negara tertentu yang menghadapi krisis politik di Timur Tengah, Muhyiddin berkata jika perlu, kerajaan akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang sedia ada.
"...(ini) supaya tidak tercetus hal-hal yang boleh menjejaskan keselamatan negara, kita akan ambil tindakan tegas," katanya.
Beliau meminta supaya tidak ada pihak yang terpengaruh dan keadaan negara menjadi huru-hara disebabkan rakyat diprovokasi secara tidak bertanggungjawab oleh pembangkang.
“Ini bermakna mereka (pembangkang) tidak menilai keselamatan, kestabilan politik, keamanan yang ada dalam negara untuk tujuan politik mereka. Mereka mencucuk (menghasut) rakyat melalui provokasi. Hal seperti ini kita tidak pandang ringan," katanya.
Ketika di Temerloh semalam, Muhyiddin memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak bermain api dengan menghasut rakyat menggulingkan kerajaan, dan menegaskan tindakan cuba membandingkan Malaysia dengan negara-negara tertentu yang sedang menghadapi krisis politik di Timur Tengah adalah amat tidak bertanggungjawab.
- Bernama

