Dana Rakyat 1Malaysia akan menanggung kos guaman bagi membantu pengguna yang berjaya mendapat tuntutan di Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, tetapi hak itu dicabar di Mahkamah Tinggi oleh peniaga atau pembekal.

NONE Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dana itu yang ditubuhkan dengan kerjasama kementerian dengan Majlis Peguam dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia (Bank Rakyat) akan dimulakan dengan peruntukan sebanyak RM10,000.

Dana itu adalah daripada Bank Rakyat dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), katanya kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian persefahaman antara ketiga-tiga pihak itu di Kuala Lumpur hari ini.

Majlis Peguam diwakili Presidennya K Ragunath, Bank Rakyat diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Kamaruzaman Che Mat, manakala kementerian diwakili Timbalan Ketua Setiausaha, Datuk Daud Tahir.

Ismail Sabri dalam ucapannya pada majlis itu berkata, dana itu bertujuan membantu pengguna yang terpaksa menanggung kos guaman yang tinggi antara RM10,000 hingga RM30,000 apabila sesuatu permohonan semakan kehakiman difailkan oleh pihak pembekal atau perkhidmatan.

- Bernama