Cadangan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk G Palanivel agar peluang pekerjaan yang wujud dalam sektor perladangan dimanfaatkan, sebenarnya ditujukan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dan memperoleh pendapatan kurang RM500 sebulan.

    

Presiden MIC itu berkata cadangan beliau itu bukan bertujuan menggesa kaum India di negara ini supaya kembali bekerja di ladang.

    

"Media cetak dan elektronik tersilap lapor cadangan yang saya suarakan di pusat perkhidmatan MIC Negeri Sembilan itu.

    

"Cadangan saya itu ditujukan kepada mereka yang tidak mempunyai pekerjaan tetap dalam sektor tidak formal dan berpendapatan kurang RM500 -– mereka yang bekerja dalam sektor informal tanpa jaminan mendapat gaji bulanan, KWSP, Perkeso, kemudahan perubatan dan tidak mampu membayar sewa, bil elektrik, air, tambang bas untuk anak yang bersekolah dan mereka yang benar-benar susah.

    

"Ringkasnya, mereka yang hidup di bawah paras kemiskinan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    

Kenyataan Palanivel Ahad lepas itu menerima kritikan pelbagai pihak dalam masyarakat India, termasuk Ketua Pemuda MIC T Mohan.

Palanivel berkata cadangan beliau itu ditujukan kepada mereka yang termasuk dalam golongan tersebut, khususnya mereka yang tinggal berhampiran ladang milik syarikat berkaitan kerajaan seperti Sime Darby.

    

"Sebagai contoh, Sime Darby menyediakan rumah, bekalan elektrik dan air percuma serta tambang bas untuk kanak-kanak yang bersekolah, kemudahan perubatan dan memberi beras, minyak masak dan sebagainya secara percuma," kata beliau.

    

Beliau berkata banyak ladang Sime Darby menyediakan sekolah Tamil, tempat ibadat dan kemudahan rekreasi.

    

Katanya pada musim tuaian dan menoreh yang baik, pasangan suami isteri yang bekerja mampu meraih pendapatan sekitar RM1,500 atau lebih.

    

"Sebelum mesyuarat majlis ekonomi lepas, saya dimaklumkan oleh  setiausaha agung NUPW (Persatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang) bahawa pada musim tuaian yang kurang baik, para pekerja dibayar gaji minimum RM450 sahaja. Datuk G Sankaran (setiausaha agung NUPW) meminta saya memohon kepada Sime Darby supaya menambah kadar gaji minimum itu.

"Pada mesyuarat majlis ekonomi lepas juga, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta Sime Darby menambah RM300 sebulan sepanjang tempoh berkenaan. Dengan penambahan itu, seseorang pekerja akan memperoleh pendapatan minimum RM750," katanya.

      

Sementara itu, dalam kenyataannya, anggota Jawatankuasa Kerja Pusat MIC N Rawisandran berkata Mohan tidak sepatutnya mempertikai kenyataan Palanivel itu.

    

"Saya menggesa Mohan supaya berfikir dengan teliti sebelum membuat kenyataan, jangan bertindak seperti ahli politik pembangkang," katanya.

- Bernama