Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penghuni hutan Sook dapat tanah hak kelompok
Diterbitkan:  Mar 12, 2011 12:49 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Hampir 12,000 penghuni kawasan tanah hutan simpan di Sook dekat Keningau, Sabah, yang selama ini hidup dalam keadaan tidak menentu, kini boleh menarik nafas lega.

sabah forest trees kinabatangan meliau reserve 240509 05 Apa yang dilihat sebagai hadiah tahun baru, Jabatan Tanah dan Ukur Negeri semalam mengumumkan pemberian hak milik tanah di kawasan hutan simpan yang dibubarkan iaitu Hutan Simpan Sook Plain dan Hutan Simpan Mandalom melalui kaedah hak milik berkelompok.

Timbalan Pengarah jabatan itu, Lee Chun Khiong berkata kawasan Hutan Simpan Sook Plain yang dibubarkan melibatkan 4,265.3 hektar dengan 19 kampung yang dihuni 3,400 orang penduduk manakala Hutan Simpan Mandalom dengan keluasan 8,555 hektar membabitkan 26 kampung dan jumlah penduduk sekitar 8,400 orang.

Keputusan yang disambut dengan baik ribuan penduduk di kawasan itu dicapai dalam satu mesyuarat bersama penapisan pemberian hak milik tanah melibatkan Jabatan Tanah dan Ukur, wakil pemimpin masyarakat, ADUN Sook Datuk Ellron Alfred Angin dan ahli parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup.

Tukar status

Mengikut Ordinan Tanah Sabah, kawasan tanah hutan simpan terbabit perlu ditukar status atau dibubarkan menjadi tanah kerajaan bagi membolehkan pemberian geran tanah secara berkelompok dilaksanakan.

bn supreme council mt meeting sapp sabah issue 190608 joseph kurup Kurup ( kiri ), yang juga timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar, menyifatkan pembubaran status tanah di dua kawasan hutan simpan itu sebagai langkah bijak dan tepat pada masanya.

"Ini adalah kemenangan kepada kesabaran dan penantian rakyat yang diperjuangkan oleh wakil rakyat. Sebagai ahli parlimen saya sangat senang hati dengan penyelesaian masalah tanah di hutan simpan.

"Kami (wakil rakyat) berbangga dan berterima kasih kepada kerajaan kerana telah menyelesaikan masalah ini, inilah hasil perjuangan kami selama ini yang sentiasa bersama dengan rakyat dan sememangnya cukup mencabar," katanya.

Kurup berasa bangga kerana kawasan daerah kecil Sook dipilih sebagai projek perintis untuk menjayakan program pemberian hak milik berkelompok yang ternyata menggembirakan penduduk terbabit.

Beliau yang juga Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) meminta ketua kampung supaya tidak sewenang-wenangnya memberikan tanah kepada orang luar yang mencari kesempatan untuk tujuan mengaut keuntungan.    

sabah forest trees kinabatangan meliau reserve 240509 03 "Orang kampung harus diberikan keutamaan memiliki tanah kerana tanah begitu penting untuk rakyat. Lihatlah di sekeliling kita, pada masa ini harga getah dan sawit sangat lumayan.

"Mereka yang menanam getah kini menikmati hasil tersebut berpanjangan, mereka yang menjual tanah hanya sekali menikmati kesenangan itu. Bukankah itu satu kerugian besar?," kata Kurup.

Pemberian hak milik berkelompok ini merupakan cetusan idea Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman yang ingin melihat penyelesaian baik terhadap permasalahan dihadapi penduduk tempatan di Sabah yang sudah berpuluh-puluh tahun mengusahakan tanah di kawasan hutan simpan.

Diperluaskan ke Tandek

Sementara itu, penasihat Pertubuhan Kimaragang Malaysia Abdul Latif  Kandok berharap projek pemberian hak milik tanah berkelompok itu dapat diperluaskan ke kawasan Kota Marudu khususnya kawasan Tandek.

"Saya lihat banyak penduduk tempatan yang menghadapi masalah sama di Tandek seperti yang berlaku di Sook. Apa yang menyedihkan di kawasan Tandek, ribuan penduduk kampung mengeluh apabila tanah yang mereka duduki sekian lama kini dimiliki oleh syarikat gergasi seperti yang dilaporkan dalam akhbar sebelum ini.

sabah forest trees kinabatangan meliau reserve 240509 01 "Dalam hal ini, saya fikir kerajaan negeri perlu melakukan sesuatu untuk membetulkan keadaan demi kebaikan bersama selaras dengan konsep 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat," katanya.

Abdul Latif, yang juga bekas pegawai daerah Kinabatangan, berkata penduduk terbabit memerlukan pembelaan sekurang-kurangnya pemberian hak milik tanah kawasan kampung mereka.

Beliau yakin masalah yang dihadapi oleh penduduk Tandek boleh diatasi menerusi penyertaan menyeluruh semua pihak termasuk kerajaan negeri, wakil syarikat dan wakil pemimpin masyarakat.

"Semua pihak perlu ikhlas dan telus untuk menangani masalah yang dihadapi ribuan penduduk Tandek," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS